Khamis, 21 Mei 2015 | 12:03am

Empat amalan mudahkan masuk syurga

Soalan: Apakah amalan yang boleh diamalkan supaya hidup saya di dunia tenang dan mendapat syurga di akhirat.

Jawapan: Sebenarnya terlalu banyak amalan yang Nabi SAW ajar kepada umat manusia bagi memastikan mereka mendapat kebahagiaan dunia dan akhirat. Antaranya, sabda Nabi SAW: "Syurgalah bagi mereka yang rezekinya daripada sumber yang (halal) lagi baik, hatinya murni, zahirnya mulia dan kejahatannya dijauhkan dari menimpa manusia lain." (Riwayat al-Munziri: Hasan Sahih) Hadis ini menjelaskan terdapat empat amalan yang dijanjikan syurga. Pertama ialah punca rezeki yang halal lagi baik. Rezeki yang diperoleh di dunia jauh daripada unsur riba, penipuan, rasuah, pengkhianatan dan sebagainya.

Jika sumber rezeki seseorang itu terbabit dengan haram, maka sudah semestinya kehidupan akhiratnya akan menjadi lebih sukar bahkan turut mengakibatkan dia terperosok ke dalam neraka.

Kedua, hati yang murni jauh daripada sifat riak, bongkak, sombong, angkuh, sum'ah, hasad dan sebagainya. Semua perbuatan itu disifatkan oleh Imam al-Ghazali sebagai penyakit hati yang sangat bahaya. Hanya disebabkan satu daripadanya kita termasuk dalam golongan yang dilaknat Allah SWT.

Ketiga, fizikal dan akhlak yang mulia. Nabi SAW adalah contoh manusia paling terpuji di sisi Allah SWT kerana ketinggian akhlak baginda dalam semua perkara. Baginda seorang suami penyayang, bertanggungjawab dan amanah.

Baginda juga seorang bapa yang sangat kasih kepada anak. Dalam kalangan rakan, baginda seorang sahabat yang baik ketika susah dan senang. Inilah contoh akhlak perlu ada dalam diri umat Islam yang mendambakan syurga yang indah abadi.

Keempat, golongan yang mampu memelihara kejahatannya daripada menimpa orang lain. Golongan seperti ini akan disayangi, dihormati dan dikasihi oleh semua yang mendekatinya. Inilah antara tandatanda ahli syurga yang dijanjikan Nabi SAW dalam banyak hadis.

Sehubungan itu, mendambakan syurga adakah tanggungjawab terpenting bagi setiap mereka yang bergelar Muslim. Semoga hajat murni ini tercapai Insya-Allah.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X