Khamis, 21 Mei 2015 | 12:20am

MTBC tak mahu bayar denda Sukan Asia 2014

PRESIDEN Tenpin Boling Malaysia (MTBC), Daruk Dr. Ps Nathan pada sidang media berhubung isu rokok , kerosakan pintu asrama pemain ketika Sukan Asia dan Skuad Boling untuk Sukan SEA Singapura 2015 di Pejabat MTBC Sunway Megalane, Petaling Jaya. - Foto Osman Adnan
PRESIDEN Tenpin Boling Malaysia (MTBC), Daruk Dr. Ps Nathan pada sidang media berhubung isu rokok , kerosakan pintu asrama pemain ketika Sukan Asia dan Skuad Boling untuk Sukan SEA Singapura 2015 di Pejabat MTBC Sunway Megalane, Petaling Jaya. - Foto Osman Adnan

PETALING JAYA: Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) tidak akan membayar denda AS$2,700 (RM9,762) kepada pihak penganjur Sukan Asia Incheon 2014 kerana merosakkan harta benda dalam bilik penginapan semasa temasya sukan itu di Korea Selatan, tahun lalu.

Sebaliknya, presidennya, Datuk Dr P S Nathan menafikan dakwaan bahawa perbuatan merokok oleh pemain skuad negara itu menyebabkan permaidani dan kelengkapan lain dalam bilik penginapan itu rosak.

Beliau memberi jaminan bahawa pemain dan pegawai pasukan itu tidak akan merokok di mana-mana jika memakai pakaian rasmi negara pada temasya itu.

Dr Nathan berkata pegawai pasukan dan bukan atlet yang tinggal di bilik yang didakwa rosak akibat perbuatan vandalisme itu.

"Pegawai pasukan telah mendapati ada kerosakan dalam bilik penginapan itu dan telah memaklumkan perkara itu kepada pegawai penganjur," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan skuad Sukan SEA 2015 di Sunway Mega Lanes, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas jumlah denda AS$40,000(RM142,470) yang dikenakan oleh Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Incheon kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) atas kerosakan tempat penginapan oleh pasukan sepak takraw, boling, perahu layar dan ragbi.

Ekoran denda itu, MOM memutuskan persatuan sukan yang terbabit membayar denda tersebut.

Denda yang dikenakan pada Sukan Asia itu berjumlah RM142,478 manakala RM3,640 untuk Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland.

Sementara itu, setiausaha agung MTBC, Cheah Ban Cheng kecewa dengan dakwaan oleh pihak penganjur Sukan Asia itu.

Beliau berkata temasya sukan itu sudah lama berakhir dan hanya kini dimaklumkan mengenai bayaran denda itu ketika skuad negara membuat persediaan menghadapi Sukan SEA di Singapura, bulan depan.

MTBC hari ini mengumumkan 12 pemain termasuk enam pemain wanita bagi menggalas cabaran negara dalam acara boling pada Sukan SEA dari 5 hingga 14 Jun ini.

Skuad lelaki terdiri daripada Adrian Ang, Alex Loew Kien Liang, Muhd Rafiq Ismail, Timmy Tan Chye Chern, Ahmad Muaz Fishol dan Johnathan Cha Tian Cheng.

Skuad wanita pula dibarisi Sin Li Jane, Esther Cheah, Shalin Zulkifli, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, Natasha Roslan dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman. - BERNAMA

Berita Harian X