Khamis, 21 Mei 2015 | 1:10pm

Selepas 10 tahun, Brothers kembali dengan Sabar


DARI kiri; Faiz, Yasin, Salleh dan Syah ketika pelancaran album Brothers di Talent Lounge Damansara Perdana, semalam. - Foto Shiraz Ali

KUALA LUMPUR: Pernah mencipta fenomena suatu ketika dahulu, kumpulan nasyid Brothers akhirnya kembali ke persada seni selepas hampir 10 tahun tidak muncul dengan album.

Tahun ini, mereka mempertaruhkan album dengan judul Sabar. Menginjak tahun ke-20 penubuhan Brothers, album ini ternyata memberi signifikan tersendiri dalam kerjaya seni mereka.

"Berkat kesabaran kami bertahun-tahun, maka lahirlah album ini buat halwa telinga peminat. Sabar itu juga satu sikap terpuji. Dengan kehidupan sekarang, kesabaran dan tolak ansur itu cukup penting," kata Yasin mewakili teman yang lain.

Selain lagu Sabar, album itu juga menampilkan lagu baharu seperti Demi Cinta, Kamaresyah, Tawakallah, Allahuma dan 10 lagu lama yang pernah popular sepanjang penubuhan Brothers.

Album ini terbitan Hush Entertainment dan diedarkan Arteffects International juga edaran bersama Sony Music Malaysia.

Sabar juga boleh didapati secara digital seperti iTunes, Amazon, Spotify, KKBox & Deezer.

Mengimbas kembali perjalanan Brothers, kumpulan nasyid yang berpaksikan vokal harmoni ini cukup dikenali sekitar 1995 menerusi debut mereka menerusi lagu 'Teman Sejati'.

Kumpulan ini selain Yasin turut dianggotai oleh Yasin, Salleh, Faiz dan Syah. Brothers pernah menghasilkan empat buah album sebelum ini seperti We Are, Satu Perjuangan, Untukmu Teman dan Brothers Reunited.

Pasti ramai yang masih mengingati lagu popular mereka seperti Kedamaian, Doa Perpisahan, Hayya Bil Jihad, Satu Perjuangan, Warna-warna Cinta dan banyak lagi.

Mereka antara kumpulan yang terkenal dengan sikap sabar dalam menghasilkan sesuatu produk muzik. Lantaran itulah setiap album yang dihasilkan mengambil masa yang lama untuk di keluarkan supaya setiap lagu yang dicipta menjadi siulan dan melekat di hati pendengar.

21 dibaca
Berita Harian X