Sabtu, 23 Mei 2015 | 12:04am

Gangguan otak punca epilepsi

SAWAN babi menyebabkan masalah gangguan fungsi otak pada sel saraf atau sel neuron.

EPILEPSI atau lebih dikenali dengan istilah sawan babi adalah keadaan berlaku cetusan aktiviti elektrik mendadak di dalam otak.

Epilepsi berasal daripada perkataan Greek iaitu `epilambanien' bermaksud serangan.

Ia merujuk kepada masalah gangguan fungsi otak pada sel saraf atau sel neuron menyebabkan otak tidak berfungsi dengan baik.

Bagi pesakit epilepsi, apabila aktiviti sel neuron terganggu, berlaku gangguan pada deria rasa, emosi dan kelakuan, kejang otot serta tidak sedarkan diri.

Bukan semua sawan adalah epilepsi. Sawan yang disebabkan rangsangan lain seperti demam panas, kurang gula dalam darah dan kuman di dalam otak tidak diklasifikasikan sebagai epilepsi.

Seseorang boleh dikatakan mengalami epilepsi sekiranya dia mengalami sekurang-kurangnya dua kali episod sawan.

Pegawai Perubatan Paediatrik, Jabatan Paediatrik Hospital Sultan Ahmad Shah (HOSHAS), Dr Ahmad Shahid Hadzir, berkata epilepsi boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu sawan menyeluruh dan sawan separa.

Katanya, sawan menyeluruh disebabkan gangguan sel saraf yang biasanya membabitkan keseluruhan otak.

Manakala bagi sawan separa pula, kata beliau, bermula di satu bahagian tertentu dalam otak.

"Terdapat juga sawan khusus untuk kanak-kanak saja iaitu Sindrom West.

"Serangan ini biasanya berlaku kepada kanak-kanak berusia antara empat hingga lapan bulan.

"Serangan lain termasuk Sindrom Lennox-Gastaut (epilepsi yang paling buruk pada kanak-kanak)," katanya.

Beliau berkata, keadaan epilepsi disebabkan sel otak yang tidak berfungsi dengan baik pada masa tertentu.

"Ketika serangan, terdapat arus elektrik kecil dihasilkan ketika sel otak berfungsi.

"Gangguan itu menyebabkan sawan. Apa yang berlaku ketika serangan sawan pula, bergantung kepada bahagian otak yang terjejas dengan keadaan epilepsi itu sendiri," katanya.

Dr Ahmad Shahid berkata, penyebab epilepsi pelbagai dan bergantung kepada faktor usia dan bila kali pertama pesakit diserang.

Sesetengah pesakit, kata beliau, tidak dapat dikenalpasti puncanya kerana epilepsi juga dikaitkan dengan genetik mendapat sawan.

PUNCA epilepsi adalah pelbagai dan bergantung kepada faktor usia dan bila kali pertama pesakit diserang.

"Hubungan antara genetik dan sawan bersifat kompleks. Tidak banyak ujian boleh dilakukan untuk mengenalpasti faktor genetik ini," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Ahmad Shahid berkata, epilepsi boleh diwarisi terutama daripada kategori yang mempunyai kecenderungan genetik.

"Serangan melangkaui generasi jika corak pewarisan genetik ini tidak kuat.

"Namun begitu, jika anda mempunyai epilepsi tidak semestinya anak anda juga mempunyai epilepsi.

"Cuma risiko untuk mendapat epilepsi lebih berbanding keturunan yang tidak mempunyai sejarah serangan ini," katanya.

Tambahnya, tiada had umur khusus bagi penghidap epilepsi dan serangan boleh terjadi kepada bayi seawal kelahiran.

Pesakit yang mempunyai episod epilepsi lebih sekali atau mempunyai keputusan elektroencephalogram (EEG)/MRI/CT) tidak normal akan diberikan dengan ubat antiepilepsi.

Pemberian ini sesuai dengan keadaan epilepsi yang dihidapi.

Namun begitu, bagi segelintir kecil pesakit, peringkat awal dikesan sukar bagi mereka untuk mengawal sawan.

Dr Ahmad Shahid berkata, mereka perlu diberi ubat-ubatan yang berbeza mengikut kesesuaian.

"Sesetengah keadaan epilepsi sukar dirawat menggunakan ubatan dan mempunyai struktur tidak normal di dalam otak.

"Jika keadaan sebegini dikesan, satu pembedahan akan dilakukan.

"Ini bertujuan untuk membuang bahagian yang merangsang sawan yang tidak terkawal," katanya.

Penghidap epilepsi mempunyai harapan untuk sembuh, bergantung kepada keadaan yang dialami.

Dr Ahmad Shahid berkata, kebanyakan kanak-kanak yang mendapat epilepsi jenis menyeluruh boleh dikawal dengan ubat-ubatan.

Pesakit kanak-kanak berkemungkinan tidak mendapat sawan apabila mereka membesar.

"Mengikut statistik, tiga dalam 10 pesakit epilepsi diserang sawan yang sukar sembuh.

"Namun begitu , kebarangkalian mereka sembuh lebih tinggi jika memberikan tindakan positif apabila diberikan ubat," katanya.

NFO

EPILEPSI dibahagikan kepada dua kategori iaitu sawan menyeluruh dan sawan separa.

Gejala epilepsi

Serangan epilepsi berbeza-beza antara penghidap dengan penghidap yang lain. Mereka mungkin mengalami perasaan kabur dan luar biasa hingga sukar untuk dijelaskan. Antaranya termasuklah:

- Rasa tidak sedap perut

- Denyutan jantung menjadi cepat

- Sukar bernafas

- Rasa bukan realiti, seolah-olah seperti mimpi

- Perasaan gelisah, panik, bersemangat, takut, sedih dan gembira

- Seolah-olah pernah pergi sesuatu tempat atau melihat sesuatu benda seperti berkhayal.

- Benda biasa dilihat ganjil, tidak dikenali

- Masa berlalu cepat atau lambat

- Persekitaran dirasai besar, terlalu kecil dan berada dalam persekitaran aneh

- Benda yang biasa menukar rupa yang menakutkan

- Mengalami halusinasi

Selain itu, terdapat petunjuk tertentu yang membolehkan orang lain mengetahui seseorang itu mengalami epilepsi.

Semasa serangan, penghidapnya tidak dapat berinteraksi secara normal dengan orang lain, tidak dapat mengawal pergerakan, percakapan. Pesakit tidak menyedari apa yang sedang dilakukan.

Antara tanda lain termasuklah:

- Penghidapnya merenung jauh

- Memberi maklum balas kurang sesuai ketika interaksi

- Pesakit mudah marah, menjerit dan berlari

- Pergerakan tangan seperti memukul atau kaki seolah-olah mengayuh basikal

- Muka merah padam, pucat dan berpeluh

BAYI ATAU KANAK-KANAK

Struktur otak tidak normal. Ini berlaku kepada bayi yang kurang oksigen ketika dilahirkan.

Bayi yang mengalami kekurangan gula, kalsium, magnesium, garam serta menghidap masalah masalah metabolisma sejak lahir.

Kanak-kanak atau dewasa : masalah kongenital seperti Tuberous sclerosis/Neurofibromatosis; berlaku kecederaan pada otak, masalah saraf progresif dan serangan strok.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X