Sabtu, 23 Mei 2015 | 12:06am
PEMANAH berkuda, Zaharudin Rastam Yeop Mahidin. - Foto Rozainah Zakaria
JURULATIH memanah berkuda, Zaharudin Rastam Yeop Mahidin bersama pelatihnya, Noor Nerina Erinae Hashim ketika latihan di Terengganu Ekuasterian Resort (TER). - Foto Rozainah Zakaria
PEMANAH berkuda, Zaharudin Rastam Yeop Mahidin ketika menjalani sesi latihan. - Foto Rozainah Zakaria
ZAHARUDIN Rastam Yeop Mahidin memberi tumpuan ketika latihan. - Foto Rozainah Zakaria
AKSI menarik pemanah berkuda, Zaharudin Rastam Yeop Mahidin ketika sesi latihan. - Foto Rozainah Zakaria
AKTIVITI sukan memanah sambil berkuda menyimpan 1,001 rahsia kebaikan optimum untuk kesihatan tubuh. - Foto Rozainah Zakaria

Memanah berkuda ikut sunah Nabi


KUALA TERENGGANU: Sukan memanah berkuda mungkin agak asing di negara ini.  Biarpun tidak sepopular sukan lain seperti bola sepak atau sukan yang dipertandingkan di Olimpik, hakikatnya aktiviti sukan memanah sambil berkuda menyimpan seribu satu rahsia kebaikan optimum untuk kesihatan tubuh.

SUKAN memanah berkuda mungkin agak asing di negara ini. - Foto Rozainah Zakaria

 Malah, bagi masyarakat Islam, sukan memanah, berkuda dan berenang adalah sukan sunah yang menjadi kegemaran Nabi Muhammad SAW. Justeru, setiap amalan dan kegemaran Nabi Muhammad SAW pastinya memiliki kelebihan tersendiri yang tiada tolok bandingnya.

 Ada kajian menunjukkan aktiviti berkuda sebenarnya memberi latihan kepada otak, sekali gus dapat mengurangkan potensi untuk mendapat penyakit Alzheimer atau hilang ingatan ketika usia semakin meningkat.

  Aktiviti berkuda juga dikatakan dapat merangsang saraf tulang belakang selain dapat mencerahkan mata melalui pergerakan `galloping'.

SUKAN memanah dan berkuda adalah sunnah Nabi Muhammad SAW. -Foto Rozainah Zakaria

  Lebih menarik, hubungan baik penunggang dengan kuda dapat memupuk interaksi di antara manusia dan haiwan, sekali gus membentuk tahap keyakinan tinggi dalam diri jika dipupuk seawal usia kanak-kanak.

Ini diakui Zaharudin Rastam Yeop Mahidin, 50 yang menceburi sukan memanah berkuda secara `bidan terjun' enam tahun lalu selepas menyahut cabaran seorang rakan.

Menggenggam gelaran juara ketika kali pertama menyertai Kejohanan Memanah Berkuda Sedunia di Korea, pada tahun 2009, ia satu kejayaan paling membanggakan bagi anak jati kelahiran Johor ini.

 Biarpun meminati sukan memanah sejak remaja, bapa tunggal kepada seorang anak ini hanya mengasah kemahiran memanah dengan berlatih sendiri, selepas berguru dengan guru memanah tradisional untuk memantapkan dirinya dalam sukan itu.

gn4id:7369147

 "Sebenarnya, saya bermula dalam sukan memanah ini tanpa latar belakang khusus. Minat dalam sukan ini bercambah daripada minat saya terhadap ilmu tasawuf (rohani). Guru tasawuf saya pernah berkata, memanah ini sunah Nabi Muhammad SAW seperti berkuda dan ia dapat membina kebolehan kita mengawal nafsu serta ego.

 "Ketika belajar memanah, saya diajar setiap tujuan anak panah itu kita terima dengan reda. Di mana anak panah itu terpacak, itu adalah takdir. Tidak lari seinci pun, itu kita kena terima. Jadi, dalam kita berusaha, kita kena berserah kepada Allah SWT.

 "Itulah pembinaan rohani yang saya peroleh dalam sukan memanah ini. Itu yang membuatkan rohani dan dalaman kita kuat. Sebab itulah selain berkuda, belajar memanah juga sunah," katanya ketika ditemui BH, di sini.

 Lelaki yang mesra disapa sebagai Pak Din berkata, beliau mula belajar memanah tradisional sejak 1963, sebelum mengembangkan kemahirannya dengan berkongsi ilmu dan mengajar memanah tradisional bermula pada 1997.

 Bertitik tolak daripada kemahiran memanah, beliau menyahut cabaran seorang rakan di Korea untuk menyertai Kejohanan Memanah Berkuda Sedunia di Korea Selatan pada 2009. Ketika itu beliau diundang sebagai pemerhati untuk kejohanan sukan berkenaan.

 "Ketika mereka menjalani latihan sebelum kejohanan, seorang rakan dari Korea menyindir dan mencabar saya mencuba nasib dalam kejohanan itu. Uniknya, saya tidak pernah menunggang kuda sebelum ini, apatah lagi mencuba sukan memanah berkuda.

 "Tetapi dalam masa dua hari sebelum kejohanan, dengan segala pemerhatian, keberanian dan semangat, saya mampu menunggang dan mengawal kuda dengan baik hingga akhirnya saya dinobatkan juara dalam kejohanan itu," katanya.

IKUTI SIRI KEDUA LAPORAN BAGAIMANA ZAHARUDIN RASTAM YEOP MAHIDIN MENERUSKAN MINATNYA DENGAN MELATIH REMAJA DALAM SUKAN MEMANAH BERKUDA, DALAM BHPlus ESOK.

Berita Harian X