Isnin, 25 Mei 2015 | 5:56pm

PESAKA yakin raih 10 pingat Sukan SEA

KUALA LUMPUR: Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) tekad meraih sekurang-kurangnya 10 pingat tanpa mengira warna pada Sukan SEA Singapura yang bermula secara rasmi 5 Jun ini.

Timbalan Setiausaha Kehormat Pesaka, Osman Nok berkata badan induk sukan itu meletakkan sasaran memenangi sekurang-kurangnya dua pingat emas pada temasya dwitahunan itu kali ini.

"Bagi mencapai sasaran tersebut, kita akan mempertaruhkan tiga pesilat senior, Mohd Al-Jufferi Jamari yang beraksi dalam kategori Putra Kelas C (30-32 kg), Mohd Fauzi Khalid (Putra Kelas F 36-38kg) dan Siti Rahmah Mohd Nasir (Putri Kelas D 32-34kg)," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata sandaran pingat juga diletakkan kepada pesilat muda seperti Siti Umairah Zabidin yang meraih emas dalam acara Putri Kelas B (28-30kg) pada Kejohanan Pencak Silat Dunia ke-16 di Stadium Saphan Hin, Phuket, Thailand dari 7 hingga 17 Januari lalu.

Pada Sukan SEA kali ini, Pesaka mempertaruhkan 16 pesilat yang terdiri dari tiga pesilat elit dan 13 pesilat pelapis. - BERNAMA

Berita Harian X