Selasa, 26 Mei 2015 | 2:11pm

LHDN terima 2.89 juta borang e-Filing, meningkat 9.73 peratus


KETUA Pegawai Eksekutif LHDN, Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahfar. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

BANGI: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menerima sebanyak 2.89 juta borang nyata cukai pendapatan pelbagai kategori melalui e-Filing setakat 15 Mei lepas, kata Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahfar.

"Angka itu adalah peningkatan sebanyak 9.73 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas iaitu sebanyak 2.61 juta.

"Daripada angka 2.89 juta itu, penerimaan Borang BE Tahun Taksiran 2014 melalui e-Filing pula sebanyak 2.32 juta di mana terdapat peningkatan 5.3 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2014 iaitu 2.19 juta," katanya pada sidang media selepas Majlis Konvokesyen Ketiga Akademi Percukaian di sini hari ini.

Beliau juga berkata, sebanyak 124,728 pembayar cukai memilih Potongan Cukai Bulanan (PCB) sebagai cukai muktamad mereka dengan amaun RM534.64 juta setakat 15 Mei.

Katanya, pada tahun ini LHDN melaksanakan polisi menetapkan PCB sebagai cukai muktamad bagi pembayar cukai individu yang layak.

"Ini sekiranya mereka berpuas hati dengan amaun PCB mereka adalah sama dengan amaun cukai yang dikira. Mereka boleh memilih untuk tidak perlu menghantar Borang Nyata Cukai Pendapatan mereka," katanya.

Sebanyak 328 orang menerima Diploma Lanjutan Percukaian Profesional dan 28 orang menerima Sijil Certified Tax Investigation Programme (CTIP) pada majlis berkenaan.

- BERNAMA

Berita Harian X