Khamis, 28 Mei 2015 | 5:09pm

Dollah buat rombakan besar-besaran skuad Harimau Malaya


KETUA jurulatih kebangsaan, Dollah Salleh. - Foto Goh Thean Howe

KUALA LUMPUR: Rombakan besar-besaran dilakukan ketua jurulatih kebangsaan, Dollah Salleh dalam senarai 30 pemain Harimau Malaya yang dikeluarkan hari ini bagi mengharungi aksi persahabatan dan kelayakan Piala Dunia 2018, bulan depan.

Ia termasuk kemasukan 10 pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) serta tiga pemain Pahang yang terpaksa disisihkan bagi perlawanan menentang Tottenham Hotspurs, semalam kerana terbabit dalam saingan Piala AFC.

Selain itu, penyerang Selangor, Afiq Azmi juga kembali tersenarai dengan kesemua 15 pemain tempatan yang disenarai bagi aksi menentang Spurs dikekalkan.

Pemain JDT yang kembali menguatkan pasukan kebangsaan ialah Mohd Farizal Marlias, Mohd Safiq Rahim, Safee Sali, S Kunalan, Mohd Amri Yahyah, Mahali Jasuli, S Chanturu, Mohd Izham Tarmizi, Junior Eldstal, Fadhli Shas dan Aidil Zafuan Abdul Radzak.

Pemain Pahang yang disenaraikan ialah R Gopinathan, penjaga gol Khairul Azhan Khalid dan Mohd Azamuddin Md Akil.

"Saya akan mengekalkan semua pemain tempatan yang bermain menentang Tottenham dengan pemain lain daripada pasukan JDT dan Pahang yang akan melaporkan diri selepas tugas mereka selesai pada Piala AFC," kata Dollah selepas perlawanan menentang Spurs, malam tadi.

15 pemain yang dikekalkan ialah penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat, Zamir Selamat, Muslim Ahmad, Afif Amiruddin, Ronny Harun, Yong Kuong Yong, Zubir Azmi, Azmi Muslim, Nasir Basharuddin, Joseph Kalang Tie, Indra Putra Mahayuddin, Ahmad Syamim Yahya, Christie Jayaseelan, Ahmad Hazwan Bakri, Norshahrul Idlan Talaha.

Bagi perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2018 yang turut menjadi pusingan kelayakan Piala Asia 2019, setiap pasukan boleh mendaftar 33 pemain.

Pada perlawanan menentang Spurs di Stadium Shah Alam, semalam, Malaysia XI tewas 1-2 hasil jaringan penyerang berbisa kelab Inggeris itu, Harry Kane.

Gol tunggal Malaysia XI dijaringkan import Perak, Thiago Juninho.

Harimau Malaya akan mengharungi perlawanan persahabatan pertama menentang Hong Kong di Stadium Shah Alam pada 6 Jun ini.

Pada saingan kelayakan Piala Asia 2019, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Timor Leste dan Palestin dengan kedua-dua perlawanan akan diadakan masing-masing pada 11 dan 16 Jun ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Senarai 30 pemain Harimau Malaya

- Penjaga Gol (Mohd Farizal Marlias, Khairul Fahmi Che Mat, Zamir Selamat, Khairul Azhan Khalid, Mohd Izham Tarmizi)

- Pertahanan (Muslim Ahmad, Afif Amiruddin, Azmi Muslim, Mahali Jasuli, Aidil Zafuan Abdul Radzak, Junior Eldstal, Fadhli Shas, Ronny Harun, Zubir Azmi).

- Tengah (Mohd Safiq Rahim, R Gopinathan, Mohd Azamuddin Md Akil, S Kunalan, Yong Kuong Yong, Nasir Basharuddin, Joseph Kalang Tie, Ahmad Syamim Yahya, Christie Jayaseelan).

- Penyerang (Indra Putra Mahayuddin, S Chanturu, Mohd Amri Yahyah, Safee Sali, Ahmad Hazwan Bakri, Afiq Azmi, Norshahrul Idlan Talaha)

Berita Harian X