Jumaat, 29 Mei 2015 | 7:46am

Amalan tarekat perlu tunduk kepada syariah berasaskan al-Quran, sunah

Pelbagai reaksi diterima berikutan pendedahan wujudnya tarekat baharu yang mempunyai kaitan dengan Tarekat Naqsyabandiah yang diharamkan. Apa yang dimaksudkan dengan tarekat?

Pada prinsipnya, tarekat adalah perjalanan kepada Allah SWT seperti mana amalan umum yang diamalkan Rasulullah SAW, sahabat dan tabi'in. Itulah perjalanan hidup yang menyeluruh dalam kalangan ulama salaf.

Rasulullah SAW dan sahabat adalah mereka yang mendahului atau lebih ke hadapan dalam perjalanan menuju Allah SWT, justeru, mereka adalah yang terdekat kepada Allah SWT.

Dalam ungkapan lain, tarekat ialah melaksanakan agama Islam dengan teliti, menjauhi serta meninggalkan perkara haram dan syubhah. Kewajipan yang dituntut Islam dikerjakan dengan sempurna seperti solat lima waktu, puasa pada bulan Ramadan, zakat, haji dan lain-lain.

Selain itu, dikerjakan pula secara bersungguh dan penuh minat keutamaan yang dianjurkan Islam seperti solat tahajud, solat sunat rawatib, puasa hari Isnin dan Khamis, aktif membaca al-Quran, berselawat, tasbih, istighfar dan zikir lain.

Bicara hal ehwal nafsu

Perkataan mu'tabarah pula bererti tarekat yang muttasil (bersambung sanadnya kepada Rasulullah SAW), syariatnya pula mestilah mengikut aliran Ahli al-Sunnah wa al-Jama'ah iaitu mengikut salah satu dari mazhab empat iaitu Hanafi, Maliki, Syafi'i dan Hanbali serta amalan tasaufnya mengikut ajaran ulama salaf dan khalaf yang muktabar.

Ilmu tarekat ialah ilmu yang membicarakan hal ehwal nafsu dan sifatnya seperti mazmumah yang perlu dijauhi serta ditinggalkan, diisi dengan sifat mahmudah untuk diamal. Ilmu ini juga membicarakan ilmu ketuhanan dengan menggunakan dalil akli bagi murid dan juga syuhud bagi wasilin.

Dengan ungkapan lain, ilmu ini membincangkan mengenai al-Takhalli, al-Tahalli dan al-Tajalli. Apa yang dimaksudkan dengan al-takhalli ialah pembuangan atau pengosongan jiwa daripada sifat yang rendah dan hina iaitu sifat kesyaitanan serta kehaiwanan.

Sifat inilah yang menjadi debu serta pengotor jiwa dan hati. Manakala al-Tahalli pula ialah pengisian jiwa dan hati dengan sifat yang tinggi serta mulia yang diistilahkan dengan al-Takhalluq bi Akhlaq Allah (berakhlak dengan akhlak Allah).

Selepas melalui dua proses itu, jiwa dan hati akan mencapai peringkat kejernihan serta keheningan (al-safa') yang seterusnya akan melayakkannya untuk menerima al-tajalli iaitu penyaksian dan makrifah.

Dalam erti kata lain, ilmu ini membincangkan 'riadhah' dan 'mujahadah.' Riadhah ialah latihan untuk tasfiyatu al-qalb atau tazkitual-nafs (penyucian jiwa) daripada sifat negatif atau mazmumah. Inilah juga yang diistilahkan dengan 'al-takhalli.'

Mujahadah pula ialah perjuangan untuk mewarna dan menghiasi hati dengan sifat mahmudah. Ini ada persamaan dengan istilah 'al-tahalli' dan 'al-takhalluqbli Akhlaq Allah.'

Ilmu untuk kebersihan hati

Daripada huraian itu, dapatlah disimpulkan bahawa objektif ilmu ini dipelajari adalah untuk mendapat kebersihan hati dari ta'aluq bi duniawiyyah (hati kuat terikat dengan kehidupan dunia), seterusnya dihayati melalui amalan zikir, muraqabah, muhasabah, mahabbah, ma'rifah dan musyahadah kepada Allah SWT.

Silsilah dan syariah Islamiyyah adalah dua perkara penting bagi menentukan sesebuah tarekat itu mu'tabarah atau tidak. Silsilah ialah tarekat yang bersambung sanadnya kepada Nabi Muhammad SAW serta ditapis oleh syariah Islamiyyah.

Ini bererti pengajaran tarekat itu tidak boleh bercanggah atau berlawanan dengan pengajaran syariah yang diketahui serta diterima oleh masyarakat Islam. Tarekat yang mu'tabarah mestilah berasaskan Islam beraliran Ahli al-Sunnah wa al-Jama'ah dan berpegang dengan salah satu dari mazhab empat.

Dalam kalangan ahli sufi dan tarekat, konsep guru (syaikh) adalah penting. Malah kelahiran sesebuah tarekat itu disebabkan adanya syaikh. Konsep syeikh ini diakui dan dituntut oleh al-Quran dan al-Sunah.

Pendidikan yang sempurna bukan setakat menyampaikan maklumat mengenai suatu perkara yang hendak diajar, malah lebih penting ialah memperlihatkan kaedah serta cara pelaksanaannya yang betul. Oleh itu, jelaslah pentingnya guru pada setiap bidang pendidikan.

Peranan guru

Solat perlu dilakukan dengan teliti dan sepenuh hati supaya ia diterima Allah SWT. - Gambar hiasan
Solat perlu dilakukan dengan teliti dan sepenuh hati supaya ia diterima Allah SWT. - Gambar hiasan

Jika dalam bidang ilmu yang bersifat zahir, guru diperlukan bagi mencapai pendidikan sempurna, maka dalam bidang ilmu tarekat ini yang sifatnya jauh lebih rumit serta lebih khusus, sudah pasti guru sangat diperlukan.

Syarat untuk menjadi guru yang murshid antara lain ialah takwa kepada Allah SWT, beramal dengan ilmu syariah, tamat dari tarbiah sesebuah tariqah yang mu'tabarah, berakhlak dengan sifat mahmudah dan sifat makarim al-akhlaq, menjauhi serta meninggalkan sifat
mazmumah.

Pokok ajaran akhlak tariqat ialah berpegang dengan al-Quran, mengikuti jejak Rasulullah SAW, makan dan minum yang halal, menjauhi maksiat, taubat nasuha dari segala dosa, melaksanakan hak Allah, menyampaikan hak manusia, dilarang menyakiti orang lain secara zahir atau batin terutama wali dan ulama.

Dakwaan memiliki daya kekuatan ghaib tidak ada dalam tarekat. Cuma yang ada ialah ma'unah dan karamah kerana ia adalah pemberian Allah SWT kepada hambaNya yang dikehendaki. Ma'unah ialah hal luar biasa yang terjadi kepada orang mukmin.

Manakala karamah pula ialah perkara luar biasa yang terjadi kepada wali Allah SWT. Tokoh ulama tasauf dan tarekat pada peringkat awal abad ke tiga hingga ke tujuh hijrah tidak pernah membicarakan perkara ini atau tidak menganggap karamah suatu tanda kesempurnaan ilmu dan amalan mereka.

Apa yang diutarakan hanyalah satu pandangan ringkas untuk pemikiran bersama. Semua idea dikemukakan adalah terbuka untuk
perbincangan bagi mencari penyelesaian yang ideal. Dalam pengajian tarekat masih banyak lagi konsep yang tidak disentuh seperti bai'ah rabitah, makrifah dan sebagainya.

Namun, kita berpendapat setiap konsep dalam tarekat hendaklah ditundukkan kepada syariah berdasarkan al-Quran dan al-Sunah kerana jika konsep itu tidak dijaga dan dikawal oleh syariah, ia akan berkembang dan dikhuatiri menyalahi syarak. Inilah wasatiyyahnya pembentukan akhlak dalam diari kehidupan seorang sufi.

Penulis ialah Penasihat Agama kepada Perdana Menteri

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X