Jumaat, 29 Mei 2015 | 11:08am

Saham Maybank susut 2 sen dalam dagangan awal

KUALA LUMPUR: Harga saham Malayan Banking Bhd (Maybank) susut 0.22 peratus atau 2.0 sen dalam dagangan awal berikutan unjuran tahun kewangan yang lemah meskipun mencatatkan prestasi lebih kukuh dalam tempoh suku pertama berakhir 31 Mac, 2015.

Saham Maybank mencatatkan RM9.09 pada 9.57 pagi dengan 175,700 saham diurusniagakan.

Keuntungan sebelum cukai Maybank meningkat kepada RM2.24 bilion bagi tempoh suku berbanding RM2.21 bilion yang direkodkan pada suku yang sama tahun lepas.

Hasil meningkat kepada RM9.18 bilion dalam tempoh itu berbanding RM8.35 bilion yang direkodkan pada suku yang sama sebelumnya.

AllianceDBS Research berkata, Maybank mengunjurkan hasil yang lebih rendah bagi tahun kewangan 2015, dengan pertumbuhan pinjaman dan pertumbuhan deposit antara 9 dan 10 peratus selain pemampatan margin faedah bersih pada 9-10 mata asas disebabkan tekanan kos pembiayaan.

Dalam notanya, firma penyelidikan itu menyatakan ia mengekalkan saranan 'simpan' ke atas Maybank dengan harga sasaran tidak berubah pada RM9.90.

- BERNAMA

Berita Harian X