Ahad, 31 Mei 2015 | 12:02pm

Jun Hoong terlepas gangsa 3m papan anjal di Mexico

KUALA LUMPUR: Penerjun wanita negara, Cheong Jun Hoong terlepas pingat gangsa pada Kejohanan Terjun Siri Dunia FINA 2015 di Merida, Mexico semalam.

Pertandingan itu adalah pusingan keenam dan peringkat akhir dalam siri kejohanan dunia edisi berkenaan.

Jun Hoong terpaksa berpuas hati di tempat keempat dengan 352.85 mata dalam acara 3m papan anjal individu wanita pada hari kedua kejohanan tersebut.

Menurut laman web kejohanan www.fina.org, Jun Hoong bermula dengan aksi hambar apabila sekadar mencatatkan terjunan 69.00 mata di kedudukan kelima pada terjunan pertama.

Pada terjunan kedua, Jun Hoong cuba kembali berada di atas carta kedudukan dengan membuat terjunan 76.50 mata namun usahanya itu tidak mampu melonjakkan kedudukannya.

Tiga terjunan terakhirnya berakhir dengan pungutan 69.00 mata, 64.40 mata dan 73.95 mata.

Pingat emas acara itu dimenangi oleh He Zi dari China selepas memungut 380.55 mata manakala rakan senegaranya, Wang Han meraih pingat perak dengan 363.80 mata.

Pingat gangsa menjadi milik penerjun Australia, Maddison Keeney dengan 360.50 mata.

Cabaran negara akan diteruskan oleh ratu terjun kebangsaan, Pandelela Rinong dalam acara 3m platform wanita pada hari ketiga kejohanan pada Ahad (beza waktu 13 jam).

- BERNAMA

Berita Harian X