Jumaat, 5 Jun 2015 | 12:01am
KEBANYAKAN wanita juga akan mengalami tanda regangan yang ketara ketika mengandung.

Buang lemak degil

SELEPAS melahirkan anak, saya sukar mengembalikan bentuk badan asal terutama bahagian perut dan paha. Apakah jenis rawatan yang selamat untuk mengurangkan lemak berlebihan pada kedua-dua bahagian itu.

Monalisa Amran

Seri Petaling, Kuala Lumpur

Ketika mengandung, bahagian perut mengalami perubahan paling ketara. Kebanyakan wanita juga akan mengalami tanda regangan yang ketara ketika mengandung. Selepas melahirkan anak, perut kembali kempis. Akibatnya kulit akan kelihatan kendur dan menggeleber. Kadangkala, akibat kenaikan berat badan mendadak ketika mengandung, sel lemak menjadi tepu dan sukar dibuang dan tersimpan pada bahagian tertentu terutama perut, pinggul dan paha sebagai lemak `degil'.

Beberapa jenis rawatan disyorkan doktor untuk membantu mengurangkan lemak. Pemeriksaan rapi perlu sebelum sebarang rawatan dibuat mengikut saranan doktor.


RAWATAN Radiofrequency.

Rawatan Radiofrequency (RF)

Ia sejenis rawatan menggunakan suhu gelombang iaitu antara 40 hingga 47 darjah celsius yang dilalukan ke atas lapisan dermis kulit. Rawatan ini bekerja dengan cara memanaskan tisu secara mendalam, memecahkan lemak, selain membantu menambahkan kolagen dengan sendiri semasa dan selepas rawatan.

Rawatan ini harus dilakukan seminggu sekali sehingga menampakkan kesan positif dan diteruskan sebulan sekali jika perlu. Hasilnya mampu membantu menegangkan semula kulit.

Rawatan menggunakan pancaran laser

Pancaran cahaya laser akan dikenakan pada bahagian yang ada lemak berlebihan selama 20 hingga 30 minit. Apabila laser ini disinarkan pada sel lemak, pintu pada sel lemak akan terbuka dan lemak akan mengalir keluar daripada sel ke sistem limfatik untuk dikeluarkan daripada badan. Selepas 72 jam, pintu itu akan tertutup.

Proses ini seharusnya dilakukan dua atau tiga hari sekali untuk mengeluarkan lebihan lemak daripada sel lemak. Untuk mendapatkan kesan lebih berkesan, memerlukan 8 hingga 10 sesi selama dua hingga tiga minggu untuk mendapatkan kesan pelangsingan.

Rawatan ini selamat kerana pancaran laser tidak mengganggu sel lain. Kebiasaannya ketika prosedur ini, diet berkalori rendah perlu diikuti.


LIPOLYSIS, rawatan menumpukan pada bahagian badan yang mengandungi banyak lemak.

Rawatan laser lipolysis

Rawatan menumpukan pada bahagian badan yang mengandungi banyak lemak. Ia bagi menyingkirkan lemak degil pada bahagian tubuh dengan menggunakan laser. Rawatan pelangsingan badan menggunakan sistem laser khas ini bertindak mencairkan lemak yang sebelum ini dalam bentuk pepejal.

Laser akan dilalukan melalui lubang kecil yang dibuat di bahagian yang perlu dirawat, laser ini akan memecahkan lemak menjadi cecair. Kemudian lemak yang dicairkan akan disedut keluar.

Di samping mencairkan lemak, laser lipolysis membantu mengetatkan kulit pada bahagian dirawat. Ini akan mengelak daripada terjadi kulit kendur selepas lemak disedut keluar.

Membekukan lemak

Ia teknologi baharu membantu menyingkirkan lemak degil daripada tubuh melalui proses penyejukan. Mesin teknologi itu bertindak menyejukkan lemak degil sehingga mencapai satu suhu hampir beku yang dilakukan selama 60 minit.

Proses penyejukan itu disasarkan untuk membunuh sel lemak di bawah kulit. Sel lemak yang disasarkan dalam rawatan itu akan mati dan disingkir secara semula jadi daripada badan. Tanpa sebarang kesakitan atau paksaan, lemak yang disejukkan akan mula kecut dan terus hilang menerusi proses dinamakan apoptosis.

Badan secara semula jadi beransur kembali ke bentuk asal selepas ketebalan lapisan lemak berkurangan. Kemudian, buah pinggang akan memproses dan menyingkirkan lemak degil ketika individu membuang air kecil dan besar.

Bagaimanapun, untuk memberikan hasil lebih berkesan, amalan gaya hidup dan bersenam juga memainkan peranan penting.

Lazimnya, lemak yang dirawat akan berkurangan sehingga satu sentimeter dalam setiap rawatan dijalankan tanpa disedari pesakit memandangkan prosedur ini langsung tidak memberikan tekanan terhadap proses penyingkiran lemak dan segala-galanya berlaku secara semula jadi.

Wanita akan mengalami masalah ini selepas melahirkan anak. Penjagaan ketika mengandung amat penting untuk mendapat berat badan ideal.

Pastikan berat badan tidak naik mendadak ketika mengandung. Menjaga pemakanan dengan mengurangkan mengambil makanan berkalori tinggi.

Sapukan krim atau minyak minerva yang didapati di klinik untuk mengurangkan tanda regangan. Lakukan senaman ringan ketika mengandung dan aktiviti menyihatkan.

Elakkan merokok kerana menambahkan toksin dalam badan dan menyebabkan kulit kedut serta kendur. Ambil pil vitamin disarankan doktor seperti obimin dan pil minyak ikan DHA dan EPA.

164 dibaca
Berita Harian X