Sabtu, 6 Jun 2015 | 4:45pm

Tiada laporan gangguan elektrik susulan gempa - SESB

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) mengesahkan tiada gangguan bekalan elektrik berlaku di negeri ini, sejak gempa bumi dilaporkan awal pagi semalam.

Pegawai Perhubungan Awam SESB, Darrell Lorimer Peter Ng, berkata setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang laporan gangguan bekalan elektrik mahupun perkara luar biasa dikesan.

"Hanya ada gangguan kecil bekalan elektrik tetapi bukan disebabkan gegaran gempa bumi yang berlaku," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, berdasarkan laman web Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini, 31 gegaran susulan dirasai di Ranau dan daerah sekitarnya selepas gempa bumi pertama berukuran 5.9 pada skala Richter yang berpusat di daerah itu direkodkan pada 7.15 pagi semalam.

Menurut laman web MetMalaysia, semua gegaran susulan itu dikategorikan lemah berukuran antara 2.5 hingga 4.5 pada skala Richter.

Gegaran kedua kuat ialah pada 1.45 tengah hari tadi, berukuran 4.5 pada skala Richter yang dirasai hingga ke Kota Kinabalu.

- BERNAMA

Berita Harian X