Sabtu, 6 Jun 2015 | 8:17pm

10 mayat mangsa gempa bumi tiba di hospital

MAYAT kedua mangsa gempa bumi di Gunung Kinabalu tiba di Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu. - Foto Mohd Adam Arinin
MAYAT kedua mangsa gempa bumi di Gunung Kinabalu tiba di Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu. - Foto Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Sepuluh mayat mangsa gempa bumi di Gunung Kinabalu tiba di bilik mayat Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth (QEH) petang ini.

Semua mayat dibawa menggunakan helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan mendarat di Terminal Dua Lapangan Terbang Kota Kinabalu sebelum dibawa dengan ambulans ke QEH.

Empat mayat pertama sampai antara jam 5 hingga 5.20 petang.

Kira-kira 20 minit kemudian ambulans seterusnya tiba membawa enam lagi mayat mangsa.

Sementara itu, dua kenderaan jenis Mitsubishi Pajero dan Toyota Velfire berwarna hitam dipercayai ahli keluarga salah seorang mangsa dilihat masuk ke kawasan hospital.

Suasana di sekitar bilik mayat kelihatan tenang.

Terdahulu, mayat pendaki kanak-kanak warga Singapura yang dibawa dari Hospital Ranau kira-kira jam 10.50 pagi tadi tiba di bilik mayat Jabatan Perubatan Forensik, QEH pada jam 1 tengah hari.

Mayat kanak-kanak warga Singapura dikenali Wee Yee Ping, 12, dijangka dibedah siasat esok di QEH sebelum diurus dan diserahkan kepada keluarga atau waris.

Berita Harian X