Isnin, 8 Jun 2015 | 12:06am

Anne Ngasri antara lakonan, politik


SAIZ orangnya mungkin tidak setara dengan jiwa dan semangat besarnya. Tapi ada apa dengan saiz kerana semua itu bukan pengukur utama. Demikian gambaran pelakon genit, Datin Anne Ngasri, 30, yang kini memikul mandat sebagai Ketua Puteri UMNO Bahagian Bukit Bintang.


KETUA Puteri UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datin Anne Ngasri. - Foto Azhar Ramli

Dengan satu misi murni membantu mereka yang memerlukan, Anne melihat tanggung jawab sosial itu seiring dengan minatnya sejak kecil.

Mengakui jiwanya cukup dekat membantu rakyat dan masyarakat, adik kepada pelakon dan penerbit, Darling Ngasri ini percaya biar sedikit bantuan yang dihulurkan, ia tetap menjadi pencapaian bermakna kerana mampu membuatkan mereka yang berduka di luar sana menguntumkan senyuman.

Anne sudah mula berjinak-jinak di arena politik sejak tiga tahun lalu.

"Saya tak ralat sertai bidang politik ini. Ia boleh saya simpulkan sebagai jiwa saya. Memang sejak kecil lagi saya suka membantu orang. Tapi itu tidak bererti saya nak katakan saya hebat. Saya hanya bantu apa yang terdaya. Niat saya hanya satu dan tulus iaitu membantu mereka yang dalam kesusahan. Saya suka berkhidmat kepada masyarakat.


ANNE kini kelihatan lebih matang. - Foto Twitter

"Tak perlu menyentuh cabang politik terlalu mendalam kerana bagi saya tiket politik ini bukan untuk menunjuk kuasa siapa hebat atau sebaliknya. Bagi saya ahli politik menjadi saluran dan suara kepada mereka yang inginkan sesuatu. Cuma sekarang, apa yang saya lakukan orang mula nampak kerana jawatan yang disandang. Tapi apa ada pada jawatan kalau kita tidak melakukan tanggungjawab yang patut ditunaikan.

"Sedikit sebanyak apa yang saya lakukan ini dapat bantu kurangkan beban orang lain. Mungkin kecil pertolongan di mata kita, tapi besar maknanya buat mereka yang menerima. Saya gembira buat orang gembira. Alhamdulillah, setakat ini saya sudah cuba memberikan pertolongan kepada mereka yang layak menerimanya.

"Saya ada membantu mereka yang mempunyai masalah tempat tinggal, termasuk memberikan kediaman menerusi Projek Perumahan Rakyat. Ada yang saya kenal pasti sudah 40 tahun berteduh di tapak haram kerana tidak mempunyai rumah sendiri. Bantuan itu ada yang bersifat kewangan dan sumbangan barangan. Tak kurang juga membuka peluang perniagaan kepada mereka," katanya yang ditemui ketika menghadiri pertunjukan fesyen EISA by Ezuwan Ismail di Publika, Solaris Dutamas, baru baru ini.

Sekalipun sibuk di pentas politik, Anne yang pernah dikenali dengan sitkom Cili Padi di TV3 itu, tidak pernah menjadikan itu sebagai alasan untuk mengabaikan tanggungjawabnya kepada suami, Datuk Mohd Sumali Reduan dan anak-anak.


ANNE bersama suaminya, Datuk Mohd Sumali Reduan.

Anne dikurniakan tiga anak, Abdul Warits, Abdul Wafri dan Nazharah Afrozah menerusi perkahwinan pertamanya dan Sufi Harraz, yang berusia setahun lapan bulan, hasil perkahwinannya dengan Mohd Sumali. Selain itu, Mohd Sumali juga memiliki seorang anak lelaki berusia 10 tahun yang menetap bersama ibunya dan menghabiskan masa bersama mereka setiap hujung minggu.


ANNE bergambar kenangan bersama suami dan anak-anaknya.

"Keutamaan memang tetap pada keluarga saya. Alhamdulillah, suami pun menyokong. Dia pun bekerja dalam bidang yang sama dan memahami. Suami saya pun jenis manusia yang ringkas. Selagi saya tahu menjaga nama baik keluarga dan tahu tanggungjawab utama serta tak memburukkan keadaan, dia merestui langkah saya di arena politik.


ANNE meluangkan masa beriadah bersama anak-anaknya.

"Kehidupan saya kini boleh disifatkan kian lengkap dan menyeronokkan. Tapi biasalah rumah tangga mana tak terusik dengan gaduh manja. Dugaan itu ada tak kira masa. Kehidupan itu sendiri diuji dengan dugaan. Tapi syukur semuanya berjalan lancar dan seadanya. Semoga kebahagiaan ini kekal hingga ke jannah. Insya-Allah," katanya.

Sudah lama tidak mewarnai dunia seni, Anne mengakui dunia lakonan tidak mungkin ditinggalkan begitu sahaja, cuma ia kini dianggap sebagai hobi. Kesibukan menguruskan keluarga dan politik membataskan rentaknya dalam dunia seni.


ANNE mengerjakan umrah bersama suami pada Januari lalu.

"Tapi, saya tidaklah sibuk mana pun. Mungkin orang yang nak tawarkan berlakon ingat saya sibuk 'gila'. Insya-Allah kalau sesuai dengan watak dan masa, saya sedia terima. Cuma kalau berlakon dengan produksi orang lain, saya takut akan susahkan mereka pula. Setiap penangguhan itu membabitkan kos dan saya tak mahu ia membantutkan apa yang sudah direncana produksi.

"Sebab itulah saya berlakon dengan produksi sendiri kerana jadual masa itu boleh diatur. Bayangkanlah saya pun turut jadi 'supir' ambil anak dari sekolah. Jadi kalau dengan produksi sendiri, memang tak ada masalah berbangkit. Kali terakhir saya berlakon sekitar tahun lalu itupun dengan produksi sendiri," katanya.

INFO: Anne Ngasri

  • Pernah menyertai pertandingan tarian, Sehati Berdansa bersama bekas suami.

  • Bernikah dengan Mohd Sumali pada 22 Disember 2012 di rumah keluarga pihak lelaki di Kampung Sungai Pinang, Pontian, Johor.

  • Sebelum Bukit Bintang, dia juga pernah bertugas sebagai Ketua Puteri UMNO cawangan Dataran Merdeka.

  • Mendapat gelaran Datin selepas suaminya menerima pangkat Datuk pada November 2014.
  • 110 dibaca
    Berita Harian X