Selasa, 9 Jun 2015 | 4:37pm

Sukan SEA: Grace terkejut menang gangsa tukul besi


GRACE beraksi pada acara baling tukul besi wanita sempena Sukan SEA Ke-28 di Stadium Nasional Singapura, hari ini. - Foto BERNAMA

SINGAPURA: Atlet muda acara baling tukul besi wanita negara, Grace Wong Xiu Mei yang membuat penampilan pertama di temasya Sukan SEA di sini, terkejut apabila berjaya meraih pingat gangsa menerusi acara itu di Stadium Nasional hari ini.

Gadis yang berasal dari Sarawak itu melakukan lontaran terbaik sejauh 53.80 meter (m) dengan perbezaan 1.67m di belakang pemenang perak, Gimsrang Panwat dari Thailand dengan lontaran 55.47m.

Pingat emas bagi acara itu menjadi milik atlet Thailand, Koomphon Mingkamon selepas melakukan lontaran 56.57m, untuk sekali gus memadam rekod lama 56.41m yang dipegang oleh atlet negara, Tan Song Hwa pada Sukan SEA Laos pada 2009.

Grace, 15, berkata beliau hanya diletakkan dalam senarai sebagai membantu Casier Lee Renee Kelly, namun sebaliknya berlaku apabila rakannya itu ketinggalan di tempat keempat.

"Saya rasa agak tertekan pada ketika itu kerana terpaksa berhadapan dengan atlet berpengalaman bagi memburu pingat," katanya.

Grace berkata, beliau hilang fokus seketika namun kembali dapat memberi tumpuan pada perlawanan apabila teringat pesan keluarga agar tidak mudah menyerah kalah.

Sementara itu sebutir lagi pingat gangsa negara bagi acara baling tukul besi lelaki disumbangkan oleh Jackie Wong Siew Cheer selepas atlet berasal dari Sarawak itu melakukan lontaran sejauh 61.18m iaitu dengan perbezaan 0.94 meter di belakang pemenang pingat perak, Phetchaiya Tantipong dari Thailand (62.12m).

Pingat emas bagi acara itu menjadi milik atlet Filipina, Stuart Caleb John Christian selepas berjaya mencatat lontaran sejauh 65.63m dan seterusnya memperbaharui rekod temasya dwitahunan yang sebelum ini dipegang oleh Phetchaiya Tantipong dari Thailand (62.23m) pada Sukan SEA edisi Myanmar dua tahun lalu.

Wong mengakui kecewa dengan persembahannya hari ini apabila gagal memperbaharui rekod kebangsaan 63.71m yang diciptanya pada Kejohanan Terbuka Filipina pada Mac lalu.

"Apa yang saya rancangkan sebelum ini tidak menjadi dan saya rasa kecewa kerana gagal mencapai pingat lebih baik di sini," katanya yang juga pemenang pingat gangsa acara yang sama pada Sukan SEA edisi Myanmar dua tahun lalu. - BERNAMA

Berita Harian X