Rabu, 10 Jun 2015 | 3:48pm

Kelayakan Piala Dunia/Asia: Dollah bimbang ancaman Timor Leste

KELANA JAYA: Timor Leste yang hadir dengan status bukan pilihan disifatkan ancaman paling berbahaya buat skuad kebangsaan menjelang aksi pembukaan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019, di sini, esok.

KETUA jurulatih Harimau Malaya, Dollah Salleh. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Perkara itu diakui sendiri ketua jurulatih Harimau Malaya, Dollah Salleh sambil menjelaskan ia mampu menjerat pemainnya andai mereka tidak memberi tumpuan penuh terhadap perlawanan itu nanti.

Pasukan Timor Leste yang buat pertama kali layak beraksi dalam saingan kelayakan ketika ini tidak mempunyai liga tempatan dan mengharapkan pemain yang beraksi di liga luar negara.

Begitupun bagi Dollah, ia tidak memberi gambaran sebenar kekuatan lawannya itu yang dikuatkan dengan kehadiran pemain naturalisasi terutama dari Brazil.

"Ia menjadikan perlawanan ini bertambah sukar," kata nya ketika ditemui pada sidang media menjelang perlawanan itu di Wisma FAM, sebentar tadi.

"Kita sudah buat kerja rumah mengenai kekuatan dan kelemahan Timor Leste dengan melihat rakaman video.

"Bagi saya, ia peperangan mental dan psikologi dan kami perlu lebih berwaspada.

"Kerana itu, saya tidak mahu pemain ambil mudah perlawanan ini,".

Malaysia bertemu Timor Leste, malam esok di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Timor Leste ketika ini mengharapkan pemain yang beraksi di liga luar negara itu untuk memantapkan pasukan.

Selain itu, enam atau tujuh pemain skuad kebangsaan negara itu diperkuatkan oleh pemain bawah 23 tahun yang beraksi di Sukan SEA di Singapura.

Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Emeriyah Arab Bersatu (UAE), Timor Leste, Palestin dan Arab Saudi.

Selepas bertemu Timor Leste, Malaysia dijadualkan menentang Palestin pada 16 Jun sebelum menghadapi saingan getir berdepan UAE pada 3 September dan Arab Saudi (8 September).

Berita Harian X