Rabu, 10 Jun 2015 | 5:45pm

PAC panggil Arul Kanda, Shahrol Ogos depan


KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy. - Foto Yazit Razali

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy dan bekas CEO syarikat itu, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, menghadiri sesi prosiding siasatan berkaitan kes 1MDB, pada minggu pertama, bulan Ogos depan.

Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata Arul dan Shahrol dipanggil selepas mereka gagal menghadiri sesi prosiding ditetapkan PAC sebelum ini, pada 26 Mei lalu.

Berikutan itu, Nur Jazlan berkata PAC meneruskan siasatan berkenaan dengan memanggil wakil firma audit antarabangsa Deloitte & Co (Deloitte) selepas Arul dan Shahrol gagal menghadiri prosiding, sebelum ini.

Beliau berkata, langkah itu perlu kerana Deloitte memberikan penarafan 'unqualified' terhadap penyata kewangan 1MDB bagi tahun berakhir 31 Mac 2014.

Katanya, PAC berpuas hati dengan keterangan diberikan Deloitte yang memberi kelulusan untuk akaun 1MDB bagi kewangan berakhir Mac 2014 tanpa sebarang masalah.

"Dengan prosiding bersama Deloitte hari ini banyak memberikan maklumat kepada PAC dan boleh dianggap sebagai petunjuk kepada kami untuk bertanya kepada pengurusan tertinggi 1MDB nanti.

"Ini kerana PAC sudah memutuskan untuk memanggil pengurusan 1MDB iaitu Arul dan Shahrol, untuk menghadiri prosiding siasatan akan datang pada Ogos nanti. Kali ini, tiada alasan lagi. Mereka berdua mesti datang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mendengar keterangan wakil firma audit Deloitte bagi menghadiri prosiding siasatan Pengurusan Kawalan Tadbir Urus 1MDB milik Kementerian Kewangan di Bangunan Sementara Parlimen di sini, hari ini.

PAC yang dianggotai kedua-dua wakil rakyat kerajaan dan pembangkang itu mula mengadakan pendengarannya sendiri selepas membuat keputusan tidak menunggu siasatan bebas yang dijalankan Ketua Audit Negara selesai.

62 dibaca
Berita Harian X