Rabu, 10 Jun 2015 | 5:48pm

Kerajaan cadang tambah 5 kolej vokasional dalam RMK-11 - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang menambah lima lagi kolej vokasional baharu dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) termasuk menaik taraf sekolah menengah harian yang bersesuaian bagi menampung permintaan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.


TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin keluar dari Dewan Rakyat selepas selesai membahaskan usul. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Timbalan Perdana Menteri berkata, antara sekolah harian yang telah dikenal pasti untuk tujuan itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Pengelih di Pengerang, Johor yang akan menawarkan kursus minyak dan gas.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, langkah itu selaras dengan usaha melahirkan modal insan berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan negara seperti yang digariskan sebagai satu daripada pencetus perubahan dalam RMK11 iaitu Menteraskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

"Agenda mentransformasikan sistem pendidikan negara, termasuk mengarusperdanakan TVET dengan sasaran untuk meningkatkan 2.5 kali ganda keseluruhan enrolmen kepada 650,000 pelajar menjelang tahun 2025," katanya semasa menggulung perbahasan usul RMK11 bagi Kementerian Pendidikan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, kementerian sentiasa berusaha untuk menambah keperluan dan permintaan bagi mengikuti program TVET di seluruh negara, namun penubuhan sesebuah institusi pendidikan seperti kolej vokasional atau kolej komuniti bukan berasaskan kawasan atau kawasan Parlimen.

Sebaliknya, beliau menjelaskan penubuhan sesebuah institusi pendidikan itu perlu mengambil kira pelbagai faktor seperti keperluan masyarakat dan industri setempat serta syarat-syarat lain yang ditetapkan dan tertakluk kepada kedudukan kewangan kerajaan.

"Penambahan program-program strategik untuk institusi TVET sedia ada juga akan diberi pertimbangan sewajarnya berdasarkan kepada kemampuan dan keperluan semasa," katanya.

Muhyiddin juga berkata, bagi memastikan pembangunan modal insan dalam bidang teknikal dan vokasional dimulakan seawal mungkin, Pendidikan Asas Vokasional (PAV) telah diperkenalkan di peringkat menengah rendah dan dikembangkan di peringkat menengah.

Katanya, ini dilaksanakan menerusi 80 kolej vokasional, 91 kolej komuniti dan 33 politeknik seterusnya diperkukuh dengan laluan bidang kerjaya melalui empat Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia dan institusi pendidikan swasta.

"Ini jelas menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan modal insan berkemahiran tinggi dan berpengalaman dapat dihasilkan di setiap peringkat pendidikan," katanya.

Muhyiddin turut menyatakan bahawa status kebolehpasaran graduan TVET tahun lalu, untuk tempoh tiga hingga enam bulan selepas tamat pengajian adalah 73.9 peratus bagi graduan politeknik dan 94.2 peratus bagi graduan kolej komuniti.

- BERNAMA

56 dibaca
Berita Harian X