Ahad, 14 Jun 2015 | 11:36pm

Hadiah hari lahir paling bermakna Fatin selepas raih tiga emas


FATIN bersama tiga emas yang dimenangi di Sukan SEA 2015 di Padang Kriket Kallang, Singapura. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim

SINGAPURA: Pemanah negara, Fatin Nur Fatehah Mat Salleh menyifatkan kejayaan meraih tiga pingat emas pada Sukan SEA 2015 di sini, merupakan hadiah hari jadi paling bermakna untuk dirinya.

Atlet kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu yang menyambut hari lahir ke-24 pada 4 Jun lepas, mempamerkan panahan cemerlang untuk meraih tiga emas dalam acara compound individu, berpasukan wanita serta berpasukan campuran bersama pemanah lelaki negara, Mohd Juwaidi Mazuki pada hari terakhir acara memanah di Pusat Kriket Kallang hari ini.

"Sebelum datang ke sini, saya hanya meletakkan sasaran satu pingat dalam acara berpasukan, namun tidak menyangka dapat meraih tiga emas. Kemenangan ini saya dedikasikan kepada ibu bapa, jurulatih (Mon Reddy Sut Txi) dan rakan sepasukan yang banyak membantu saya selama ini," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis penyampaian pingat yang disempurnakan Ketua Kontinjen negara, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Ditanya resepi kejayaannya, bekas penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pahang yang membuat penampilan ketiga berturut-turut selepas edisi 2011 di Indonesia dan 2013 (Myanmar) itu, berkata tiada sebarang rahsia kerana skuad memanah negara hanya sempat menjalani latihan singkat selama dua minggu, sebelum berlepas ke Singapura.

Pada masa sama, beliau mengakui bakal berdepan tekanan untuk mengekalkan tiga pingat emas yang dimenanginya apabila Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017.

Berkongsi pandangan sama adalah Mohd Juwaidi yang menyifatkan kejayaan meraih tiga pingat termasuk satu gangsa dalam acara compound individu lelaki merupakan kejayaan tidak disangka-sangka kerana beliau hanya meletakkan sasaran untuk memperbaiki prestasi pada temasya kali ini.

Bekas penuntut Management and Science University (MSU) itu yang membuat penampilan kedua selepas edisi 2013 turut meraih pingat emas dalam acara compound berpasukan lelaki bersama Zulfadhli Ruslan dan Lee Kin Lip.

"Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan persembahan pada kali ini kerana saya hanya mendapat satu pingat perak dalam acara berpasukan lelaki pada 2013," kata Mohd Juwaidi.

Sementara itu, pengurus skuad memanah negara, Ibrahim Harun gembira dengan pencapaian luar biasa pemanah negara, yang disifatkan hasil kerja keras mereka walaupun menjalani latihan singkat sebelum datang ke Singapura.

Beliau yang juga Setiausaha Kehormat Persatuan Memanah Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berkata kejayaan itu hasil kerja keras atlet negara sendiri selain bantuan dan sokongan berterusan daripada Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara.

"Sebelum ini, kita hanya meletakkan sasaran tiga emas namun ia sudah melebihi apa yang disasarkan, jadi saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada atlet yang berusaha keras untuk mencapai kejayaan cemerlang ini," kata Ibrahim.

Untuk rekod, skuad memanah negara meraih satu pingat emas dalam acara recurve berpasukan lelaki, dua perak (recurve individu lelaki dan berpasukan campuran) serta satu pingat gangsa dalam acara recurve berpasukan wanita, semalam.

Kejayaan cemerlang yang diraih hari ini membolehkan Malaysia muncul juara keseluruhan acara memanah dengan kutipan keseluruhan lima pingat emas, tiga perak dan dua gangsa dan ia berjaya mengatasi pencapaian pada 2013 dengan dua emas, tiga perak dan satu gangsa.

Indonesia muncul pasukan kedua terbaik dengan kutipan dua pingat emas, tiga perak dan satu gangsa manakala Vietnam di tempat ketiga dengan dua emas, satu perak dan dua gangsa. - BERNAMA

Berita Harian X