Isnin, 15 Jun 2015 | 2:40pm

Kerjasama awam, swasta penting hasilkan pekerja berkemahiran tinggi


IDRIS menyampaikan ucapan sempena forum Bicara BH di Kuala Lumpur hari ini. - Foto Yazit Razali

KUALA LUMPUR: Kerjasama awam swasta kini menjadi medium terpenting dalam menghasilkan kumpulan pekerja berkemahiran tinggi selari permintaan sumber tenaga kerja di pasaran semasa, di samping ia mampu mengurangkan kebergantungan terhadap buruh asing.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata kementeriannya kini sedang melipatgandakan gerak kerja mempromosi bidang teknikal dan vokasional kepada ibu bapa serta agensi swasta sebagai usaha melahirkan lebih ramai golongan pekerja berkemahiran tinggi menjelang 2020.

Beliau berkata, tumpuan itu sudah pun digariskan di bawah kerangka Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

"Kerajaan dalam usaha mengurangkan kebergantungan pekerja asing dan sebab itu kita buat pelaburan tertentu contohnya dalam bidang automotif.

"(Untuk menjayakan langkah ini) perlu juga tanggungjawab bukan saja pada kerajaan, tapi pihak swasta sendiri. Jadi perlunya kerjasama awam dan swasta bagi memastikan polisi ini berjaya akhirnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri siri forum - Bicara BH bertajuk 'Kerjasama Awam-Swasta untuk Latihan dalam Bidang Vokasional & Teknikal' di ibu negara, hari ini.

Hadir sama, Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mahfar Ali.

Forum berkenaan turut menampilkan empat ahli panel iaitu, Ketua Pengarah, Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia, Datuk Dr Pang Chau Leong dan Ahli Ekonomi Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Azizah Talib.

Ketua Eksekutif, Institut Automotif Malaysia, Madani Sahari dan Penasihat Kehormat FeMAC, Nordin Abdul Malek antara panel dijemput. Sesi forum dikendalikan moderator yang juga perunding pendidikan, Datuk Dr Mohd Yahya Nordin.

Beberapa isu dibangkitkan ahli panel termasuk persepsi ibu bapa terhadap bidang kemahiran yang masih rendah; masalah kebergantungan pekerja asing yang masih tinggi serta kurangnya kerjasama swasta.

Ditanya persepsi ibu bapa yang dilihat masih kurang yakin terhadap bidang teknikal dan vokasional berbanding akademik, beliau berkata buat masa ini, sudah kelihatan perubahan ketara yang positif terhadap persepsi itu.

Katanya, ibu bapa mula yakin terhadap bidang ini, ia dapat dibuktikan menerusi kemasukan pelajar ke kolej kemahiran seperti Kolej Komuniti yang semakin meningkat setiap tahun.

"Kita lihat sudah kejayaan dan keyakinan ibu bapa terhadap subjek kemahiran sudah meningkat, permohonan di kolej kemahiran sudah meningkat, namun diakui usaha perlu dipertingkatkan lagi.

"(Hasilnya) ada yang dua tahun masuk Kolej Komuniti, (bila keluar) mampu peroleh gaji RM2,000 sebulan, sama ada dalam bidang minyak dan gas atau animasi.

"Di sini, lebih penting, mereka yang menceburi bidang tersebut perlu memahami dan berminat terhadap bidang tersebut," katanya sambil menyatakan semua pihak perlu memberi kerjasama bagi memastikan bidang vokasional ini dapat diarusperdanakan.

Terdahulu ketika menyampaikan ucaptama pada majlis itu, Idris berkata, sektor pendidikan Malaysia terutama universiti tempatan ketika ini juga sudah bersedia sepenuhnya ke arah merealisasikan matlamat itu.

Katanya, empat universiti tempatan kini berada dalam kelompok 100 terbaik universiti di dunia dalam bidang teknikal dan antaranya Universiti Sains Malaysia (USM) di kedudukan 31 sementara Universiti Malaya (UM), 32.

38 dibaca
Berita Harian X