Rabu, 17 Jun 2015 | 6:39pm

Maxis labur RM1b naik taraf prasarana, rangkaian

KUALA LUMPUR: Maxis Bhd menyasar mencapai lebih daripada separuh liputan 4G LTE bagi penduduk di negara ini menjelang akhir tahun.

Ketua Pegawai Teknologi, Morten Bangsgaard, berkata usaha itu dilaksanakan menerusi pelaburan berterusan Maxis dalam rangkaian dimodenkan dan infrastruktur fiber baharunya yang mana tahun ini, syarikat melabur lebih RM1 bilion bagi tujuan itu.

Beliau berkata, dengan Maxis 4G LTE, pengguna boleh menikmati layaran dan penstriman sepanjang hari yang lebih baik dengan kelajuan lebih cepat yang konsisten.

"Ini bermakna pengguna menikmati tontonan yang lancar, tanpa gangguan setiap kali," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Rangkaian 4G LTE secara amnya menawarkan pengalaman yang lebih baik untuk semua jenis aplikasi data.

Bangsgaard berkata, terdapat aplikasi yang hanya boleh berfungsi dengan baik dengan 4G LTE seperti Meerkat, Periscope, dan Stringwire yang mana 4G LTE juga memberikan prestasi lebih baik untuk aplikasi yang memerlukan kependaman rendah seperti panggilan video IP dan permainan.

Berita Harian X