Jumaat, 19 Jun 2015 | 1:58am

Ramadan medan suburkan semangat jihad

Ramadan kembali hadir. Bagaimanakah semangat umat Islam yang sepatutnya apabila tibanya bulan mulia ini? Sirah mencatatkan menjelang kedatangan Ramadan, Rasulullah SAW membuat beberapa persediaan pada akhir Syaaban. Sahabat dikumpulkan oleh Rasulullah SAW untuk diterangkan fadilat Ramadan al-Mubarak ini.

Rasulullah SAW menganjurkan umat Islam:

  • Bersiap sedia menanti kedatangan Ramadan iaitu dengan mengulangkaji pelajaran berkaitan ibadah puasa supaya kita menyambut Ramadan dengan mempunyai pedoman yang sempurna. Setiap inci pengetahuan berkenaan ibadat ini disemak merangkumi rukun, syarat, sunat, makruh, adab, faedah dan rahsia terkandung dalam ibadah puasa.
  • Memperlihatkan kepada sesama kita kesenangan hati dan kegembiraan menyambut Ramadan seperti Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda mengucapkan "Marhaban, Marhaban Ya Ramadan."
  • Memperbanyakkan doa kepada Allah SWT semoga diberikan kekuatan dan tenaga serta kelapangan mengerjakan ibadah puasa.
  • Memperbanyakkan doa supaya Allah SWT mengurniakan kejujuran, keikhlasan, terjauh daripada sifat riyak, ujub dan takabur yang boleh menghilangkan pahala puasa.
  • Menguatkan semangat dan hemah menjalankan latihan kerohanian pada bulan puasa dengan lengkap dan sempurna.
  • Menghindarkan diri daripada terlebih dengan adat yang membebankan pada Ramadan seperti berbelanja lebih dan membazir untuk membeli juadah berbuka puasa dan sebagainya.
  • Mengucapkan tahniah sesama saudara Islam dengan kedatangan Ramadan.

Puasa dalam bahasa Arab bermaksud menahan atau meninggalkan, manakala ulama Fiqh meletakkan puasa ialah menahan diri (al-Imsak) daripada makan minum, nafsu syahwat dan perkara yang boleh membatalkannya bermula dari terbit fajar sehingga tenggelam matahari. Allah SWT berfirman maksudnya:

"Wahai orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu semoga kamu menjadi orang yang bertakwa." (Surah al-Baqarah : 183)

Ikut peraturan dan adab

Hakikatnya, Allah SWT memberi isyarat dan menunjukkan dengan jelas betapa ibadah puasa menimbulkan ketakwaan dalam hati seseorang. Ibadah ini jika ditunaikan mengikut peraturan dan adabnya yang sebenar mampu menguatkan hati supaya bertakwa dan melahirkan sifat terpuji.

Ibadah puasa juga mampu menerbitkan semangat jihad melawan hawa nafsu yang sedia wujud dalam diri manusia. Allah SWT berfirman maksudnya: "Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan dan yang membawanya kepada bertakwa." (Surah al-Shams : 6-8)

Ibadah puasa memberi kesempatan kepada manusia untuk membersihkan nafsu melalui ibadah dan zikir kepada Allah SWT. Allah SWT berfirman mafhumnya: "Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang yang diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah dia daripada hasutan nafsu itu." (Surah Yusof: 53).

Ramadan adalah medan untuk umat Islam menyuburkan semangat jihad menentang was-was, bisikan syaitan yang menjadi musuh umat manusia. Semangat jihad ini dipupuk melalui sifat sabar mengerjakan kebaikan dan kebajikan di sepanjang bulan ini. Ibadah puasa juga turut melahirkan rasa keseronokan mengerjakan kebaikan, malah Ramadan juga adalah bulan latihan dan pendidikan kerohanian yang mampu membentuk peribadi dan akhlak Muslim.

Menyuburkan sifat takwa

Ibadah puasa melahirkan sifat amanah, sekali gus menyuburkan rasa takwa yang merangkumi semua sifat terpuji dan luhur sama ada batin mahupun zahir seseorang Muslim.

Sifat takwa akan mampu berfungsi sebagai pengawal kepada kebaikan dan menjernihkan jiwa daripada dosa dan maksiat. Ia akan menjernihkan jiwa dan hati manusia daripada sifat syirik dan nifaq. Sifat syirik yang menyekutukan Allah SWT dengan makhluk lain dan melakukan sifat orang musyrik, manakala nifaq pula ialah perbuatan berpura-pura beriman, tetapi hakikatnya kufur dan bersifat orang munafik. Rasulullah SAW ada mengungkapkan situasi ini dengan sabda Baginda: "Setiap anak keturunan Adam adalah seorang yang selalu melakukan kesalahan dan sebaik-baik mereka yang melakukan kesalahan adalah orang yang selalu bertaubat." (Riwayat al-Tirmizi dan Ibnu Majah).

Kita mengharapkan institusi Ramadan ini berjaya ditempuhi dengan penuh keikhlasan dan rendah diri serta ketakwaan sebagai hamba-Nya. Semoga proses transformasi diri ke arah lebih baik menjadi kenyataan apabila berakhirnya bulan penuh keberkatan ini.

Modal insan adalah sumber terpenting kepada pembangunan negara. Maju atau mundur sesebuah negara bergantung penuh kepada kekuatan dan kehebatan nilai, kompetensi dan kemahiran insaniah bangsa itu sendiri. Ringkasnya, pada hemah saya, kita perlu membangunkan sebuah masyarakat yang memiliki nilai tinggi, berakhlak mulia serta memiliki minda yang mencerminkan rakyat sebuah negara maju berpaksikan prinsip Islam. Inilah transformasi seorang Muslim pasca Ramadan. Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadan Karim.

Berita Harian X