Jumaat, 19 Jun 2015 | 6:41pm

100 lubang tikus ditemui di sekitar Flat Sri Sabah

KUALA LUMPUR: Lebih 100 lubang tikus ditemui di sekitar kawasan Flat Sri Sabah, Cheras di sini.

Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Unit Kawalan Pest Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Mariappan Chinniah, berkata persekitaran kawasan perumahan yang tersangat kotor dan berbau busuk menjadi punca utama pembiakan tikus di kawasan berkenaan.

"Tempat pembuangan sampahnya tidak diuruskan dengan baik dengan najis tikus kelihatan bersepah di atas lantai menunjukkan kehadiran tikus yang aktif di sini," katanya semasa operasi aduan dan kawalan tikus hari ini.

Katanya, sebagai langkah pembasmian, DBKL melalui pasukan khas operasi tikus telah meletakkan racun serbuk 'Tikumin 1000' ke dalam setiap lubang yang ditemui.

"Racun itu diharap terkena pada bulu tikus yang berkeliaran di luar lubang dan apabila tikus masuk ke dalam sarangnya, sisa-sisa racun pada badan tikus itu diharap turut terkena pada tikus lain dalam lubang berkenaan," katanya.

Operasi kawalan tikus itu dibuat selepas pihak DBKL menerima aduan daripada penduduk setempat berkenaan gangguan najis tikus di kawasan mereka.

Tambah Mariappan, pihak pengurusan kebersihan serta penduduk perlu lebih prihatin dan saling bekerjasama dalam menangani masalah berkenaan.

"DBKL telah membuat sehabis baik dengan melakukan pelbagai langkah pembasmian tikus, tetapi pencegahan yang terbaik ialah menerusi kesedaran sivik orang ramai dan sistem pelupusan sampah yang baik haruslah disediakan pihak berkaitan," katanya.

- BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X