Rabu, 17 September 2014 | 8:34am

SCORE bukti komitmen Pusat majukan ekonomi Sarawak

 MIRI bandar raya kedua di Sarawak yang semakin pesat membangun. - Foto Kandau Sidi
MIRI bandar raya kedua di Sarawak yang semakin pesat membangun. - Foto Kandau Sidi

Bagaikan kombinasi tali gitar yang dibiarkan tegang dan kendur untuk menghasilkan irama muzik sempurna, begitulah yang dapat digambarkan berkenaan hubungan pasang surut Sarawak dan Sabah dalam Persekutuan Malaysia bermula 16 September 1963.

Seperti juga perkara biasa yang berlaku kepada negara lain, pertelingkahan berhubung isu politik, pembahagian kekayaan sehingga kepada penyediaan prasarana berterusan menjadi isu sejak Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj membaca pengisytiharan penubuhan Malaysia di Stadium Merdeka, 51 tahun lalu.

Semangat perpaduan digugat

Namun, sejak kebelakangan ini, semangat perpaduan negara seolah-olah mahu digugat oleh pihak tertentu dari Bumi Kenyalang yang mahukan negeri ini keluar daripada Malaysia atas alasan dianaktirikan, terutama dari segi pembangunan.

Malah, pihak yang berkenaan turut 'menuduh' Kerajaan Pusat hanya mengutamakan pembangunan di Semenanjung atau lebih 'mesra' dengan panggilan 'Malaya' dalam kalangan rakyat Sarawak sedangkan mereka mendakwa sumber kewangan bagi membiayai agenda pembangunan itu diperoleh dari hasil bumi negeri ini, terutama petroleum.

SARAWAK terkenal dengan kebudayaan yang unik. - Foto Nadim Bokhari
SARAWAK terkenal dengan kebudayaan yang unik. - Foto Nadim Bokhari

Difahamkan, desakan itu turut menular ke Sabah, dengan pelbagai laman blog dan media sosial diwujudkan bagi mendukung gerakan membawa keluar Sabah dan Sarawak daripada Malaysia. Namun, apakah benar Kerajaan Pusat bersikap 'berat sebelah' dalam menghormati hak rakyat negeri ini, termasuk pengagihan belanjawan bagi tujuan pembangunan?

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mendedahkan negeri ini diberi peruntukan daripada Kerajaan Pusat melebihi RM32 bilion bagi tempoh lima tahun sejak tahun 2008, khusus membangunkan lebih 1,000 projek pembangunan prasarana dan sosioekonomi rakyat.

Katanya, peruntukan berkenaan tidak termasuk kos pengurusan yang jumlah berkenaan sudah pasti mencecah tambahan berbilion ringgit lagi. Pemberian dana besar berkenaan pastinya 'dicemburui' negeri lain, tetapi ia dapat difahami kerana keluasan Bumi Kenyalang hampir menyamai keluasan kawasan di Semenanjung dan ia memerlukan tempoh panjang serta proses berperingkat untuk memajukan keseluruhan negeri terbabit.

Taburan penduduk yang berselerak dengan faktor geografi mencabar mengakibatkan masih ada kawasan di negeri ini masih tidak dapat dihubungi kerana kos pembangunan disalurkan terlebih dulu kepada kawasan yang mempunyai potensi besar dalam memberi pulangan ekonomi kepada Kerajaan Negeri.

Selain itu, Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kewangan meluluskan sejumlah 1,200 projek prasarana merangkumi pembinaan jalan raya, penyambungan bekalan air serta bekalan elektrik membabitkan RM15.9 bilion dalam tempoh tiga tahun bermula 2011.

Tambahan RM1 bilion menerusi peruntukan khas daripada Kerajaan Persekutuan diluluskan bagi melaksana kira-kira 210 projek pembangunan berimpak tinggi.

PENDAYUNG sampan di Tebingan Sungai Sarawak mendapat rezeki lebih hasil kunjungan pelancong dalam dan luar negara. - Foto Nadim Bokhari
PENDAYUNG sampan di Tebingan Sungai Sarawak mendapat rezeki lebih hasil kunjungan pelancong dalam dan luar negara. - Foto Nadim Bokhari

Kewujudan SCORE

Malah, kewujudan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) di wilayah tengah negeri ini turut memperlihatkan komitmen tidak berbelah bahagi Kerajaan Pusat, yang tentunya di bawah penguasaan Barisan Nasional (BN), terhadap usaha berterusan memakmurkan pertumbuhan ekonomi Sarawak.

Awang Tengah yang juga Menteri Kemudahan Awam dan Menteri Pembangunan Perindustrian, memaklumkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10), Sarawak memperoleh RM14 bilion untuk melaksanakan sejumlah 950 projek pembangunan.

Adalah diharapkan pihak yang bertanggungjawab, khususnya Jabatan Penerangan mampu menerangkan segala inisiatif Kerajaan Pusat kepada penduduk Sarawak demi memastikan maklumat sahih dapat disalurkan kepada penduduk terutama di kawasan luar bandar.

Selain dakwaan pemberian peruntukan yang dianggap 'sedikit' itu, penggunaan istilah seperti 'seluruh negara termasuk Sarawak dan Sabah' atau 'rakyat di Semenanjung termasuk Sarawak dan Sabah' sewajarnya diharamkan saja kerana tidak langsung menyumbang memperkukuhkan Persekutuan Malaysia.

Malaysia adalah negara terdiri daripada tiga bahagian iaitu Semenanjung, Sarawak dan Sabah dan ia tidak perlu dipisahkan secara sebutan ketiga-ketiga bahagian itu yang bertanggungjawab membentuk Persekutuan.

Lebih parah, sejak dari prasekolah sehinggalah ke peringkat universiti, pengasingan ayat 'Semenanjung dan Sabah dan Sarawak' berterusan diucapkan guru, pensyarah, profesor, ibu bapa, ahli perniagaan, petani, nelayan, pekerja kilang, malah pemimpin politik juga mengatakan perkara sama.

Jika difikirkan secara rasional, adalah tidak logik Kerajaan Pusat menganaktirikan Sarawak kerana kestabilan politik di negeri ini amat meyakinkan, terutama di bawah era kepemimpinan mantan Ketua Menteri, Tun Abdul Taib Mahmud yang kini digantikan Tan Sri Adenan Satem.

Kubu kuat BN

Malah, Sarawak turut mendapat jolokan sebagai kubu kuat atau 'simpanan tetap' BN kerana setiap kali pilihan raya umum atau pilihan raya negeri diadakan, BN pasti mampu mencatatkan kemenangan besar.

Sementara itu, inisiatif Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang mencadangkan Hari Kebangsaan yang diraikan 31 Ogos setiap tahun dikenali sebagai Hari Kemerdekaan tanpa sebutan tahun sambutan adalah langkah pragmatik memperkasakan semula perpaduan rakyat Malaysia.

PASAR Satok Baharu yang dibuka memberi kemudahan kepada peniaga dan pelanggan. - Foto Nadim Bokhari
PASAR Satok Baharu yang dibuka memberi kemudahan kepada peniaga dan pelanggan. - Foto Nadim Bokhari

Cadangan yang dikemukakan kepada Kabinet itu selaras dengan kepentingan Sarawak dan Sabah dalam pembentukan Malaysia, sejurus kedua-dua negeri terbabit mencapai kemerdekaan pada tahun 1963.

Kemerdekaan Malaya pada 31 Ogos 1957 membabitkan 11 negeri iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Selangor dan Terengganu adalah detik bersejarah bermulanya langkah kepada penubuhan Persekutuan Malaysia.

Rasionalnya kepada cadangan itu adalah sama dengan sambutan '4th of July' melambangkan kemerdekaan Amerika Syarikat (AS) kerana dari segi sejarah negara itu menandatangani Deklarasi Kemerdekaan membabitkan 13 negeri sahaja berbanding 52 negeri ketika ini.

Ahmad Shabery menjelaskan tarikh 4 Julai bukan bererti AS mencapai kemerdekaan untuk semua negeri di bawah pentadbirannya, bagaimanapun tarikh berkenaan diterima rakyatnya bagi meraikan bermulanya hari pembebasan.

Ini penting, agar rakyat Sarawak dan Sabah tidak lagi menganggap 31 Ogos setiap tahun adalah tarikh yang tidak membawa makna kepada mereka.

Bagaimanapun, langkah mengekalkan sambutan 16 September sempena Hari Malaysia adalah wajar kerana ia memberi seribu pengertian kepada penduduk negara ini.

Justeru, diharap pemilihan tema sambutan 'Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta' bagi sambutan Hari Malaysia Ke-51 cukup bersesuaian membentuk jati diri bangsa Malaysia yang berdaulat.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X