Selasa, 23 Jun 2015 | 9:12pm

MATTA arah ahli pulang wang tempahan pakej pendakian Gunung Kinabalu

KOTA KINABALU: Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) mengarahkan ahlinya supaya memulangkan sepenuh wang tempahan pakej pendakian ekoran pembatalan aktiviti mendaki Gunung Kinabalu mulai 5 Jun hingga 31 Ogos ini.

Naib Presiden (Perjalanan Ke dalam Negara) MATTA, Datuk Tan Kok Liang, berkata ejen pelancongan tidak harus mengenakan sebarang caj pembatalan seperti penyedia perkhidmatan, Sutera Sanctuary Lodges yang mengesahkan akan membayar balik sepenuhnya wang tempahan pakej kepada pelanggannya.

Beliau turut mengingatkan semua ahli supaya bersatu dan membantu membina semula industri pelancongan domestik.

"Memulangkan semula bayaran dengan penuh akan memperkukuhkan profesionalisme dan etika moral kerana pembatalan pendakian Gunung Kinabalu berikutan gempa bumi pada 5 Jun lepas adalah di luar kawalan kami," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, mana-mana ahli MATTA yang enggan memberi kerjasama dalam soal pembayaran balik sepenuhnya wang tempahan pakej pendakian akan disoal oleh Bahagian Pelesenan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

"Ini bukan masa untuk melaksanakan dasar mengenai caj pembatalan," katanya.

Tan berkata, keputusan mengembalikan semula wang tempahan pakej itu dibuat selepas taklimat oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.

Antara hadir sama pada sesi taklimat tersebut ialah Pengarah Taman-Taman Sabah (TTS), Dr Jamili Nais, Pengurus Besar Lembaga Pelancongan Sabah, Datuk Irene Charuruks dan Pengurus Besar Sutera Sanctuary Lodges, K. Ravi.

Dalam kenyataan sama, Ravi berkata mereka sedang dalam proses mengembalikan wang tempahan pakej pendakian Gunung Kinabalu kepada pelanggan secara berperingkat.

Sementara itu, Jamili berkata kerja-kerja pemulihan dan memperbaiki kemudahan di Gunung Kinabalu akan bermula sejak cepat mungkin, sambil menjelaskan perniagaan adalah normal untuk pakej percutian ke Taman Negara Kinabalu dan Kolam Air Panas Poring.

Pada 5 Jun lepas, Ranau dan kawasan sekitar termasuk Gunung Kinabalu digegarkan dengan gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter, menyebabkan 18 pendaki dan malim gunung terkorban.

- BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X