Rabu, 17 September 2014 | 9:56am
SYED SALEH Syed Abdul Rahman menyambut jemaah haji Malaysia yang tiba di Makkah. - Foto NSTP

Haji: Penempatan jemaah Malaysia di Arafah hampir sama dengan musim lepas

MAKKAH: Kawasan penempatan jemaah haji Malaysia di Arafah, Mudzalidah dan Mina hampir sama dengan lokasi penempatan pada musim haji tahun lepas.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, Tabung Haji (TH) baru saja menerima pelan tapak untuk jemaah haji Malaysia di ketiga-tiga lokasi berkenaan daripada Muassasah Asia Tenggara.

Kini, pihaknya akan memulakan persiapan bagi mendirikan penempatan jemaah haji serta pusat operasi TH, katanya kepada media Malaysia selepas mengadakan lawatan ke kawasan penempatan itu di sini Selasa, bersama-sama pengurus maktab serta operasi.

"Selalunya persiapan untuk jemaah haji akan siap dalam masa dua atau tiga hari sebelum jemaah haji bergerak dari Makkah ke Arafah (sehari sebelum Wukuf pada 8 Zulhijjah, yang dijangka bersamaan 2 Oktober)," katanya.

Syed Saleh berkata tinjauan awal dilakukan bagi memastikan kawasan yang diperuntukkan untuk pelbagai perkhidmatan haji termasuk bilik operasi haji, kawasan media, warga emas, dapur dan klinik perubatan, dikenal pasti.

Menurut Syed Saleh, di Arafah khemah penginapan hanya dilengkapi dengan kipas kerana jemaah akan hanya tinggal semalaman sementara di Mina, khemah akan dilengkapi dengan pendingin hawa.

Beliau berkata, sebanyak 22,320 jemaah haji Malaysia dijangka mula bergerak dalam tiga peringkat iaitu selepas solat Zuhur, Asar dan Maghrib ke Arafah yang terletak kira-kira 22km dari Masjidilharam.

Syed Saleh berkata, selepas berwukuf di Arafah, jemaah haji kemudian bergerak ke Mudzalifah untuk mengutip anak-anak batu bagi keperluan melontar Jamarat di Mina dan menunggu seketika iaitu sehingga 11.45 malam, sebelum bergerak ke Mina secara berperingkat-peringkat.

"Kita akan menganjurkan untuk melontar di ketiga-tiga Jamrah selepas solat Isyak tiga hari berturut-turut pada 11,12 dan 13 Zulhijjah sebelum bergerak kembali ke Makkah," katanya.

Wukuf di Arafah merupakan kemuncak ibadah haji dengan jemaah haji mengunakan waktu ini untuk memperbanyakkan ibadah termasuk berdoa, membaca al-Quran, berzikir, tazkirah dan sebagainya. Di sini juga terletaknya Jabal Rahmah (Bukit Kasih Sayang). - BERNAMA

Berita Harian X