Rabu, 17 September 2014 | 11:08am
PEMAIN pasukan Liverpool meraikan gol hasil sepakan penalti menentang Ludogorets dalam Liga Juara-Juara Eropah. - Foto REUTERS

Real Madrid tunjuk taring, Liverpool menang tipis

REAKSI pemain tengah Real Madrid, James Rodriguez (kiri) selepas menjaringkan gol keempat untuk pasukannya ketika menentang Basel dalam perlawanan Liga Juara-Juara di stadium Santiago Bernabeu, Madrid, pagi ini. Real Madrid belasah Basel 5-1. - Foto AP

PARIS: Real Madrid memulakan misi mempertahankan mahkota kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah selepas mencatatkan kemenangan besar 5-1 ke atas Basel pada perlawanan pertama peringkat kumpulan, awal pagi tadi.

Liverpool juga meraikan sambutan kembali ke kejuaraan kelab utama Eropah itu selepas mencatatkan kemenangan penuh dramatik menewaskan pendatang baharu dari Bulgaria, Ludogorets 2-1.

PENYERANG Liverpool, Raheem Sterling (tengah) berentap dengan pemain Ludogorets, Cosmin Moti dalam aksi Liga Juara-Juara di Anfield, awal pagi ini. Liverpool menang 2-1. - Foto Reuters

Kemenangan Real Madrid sepatutnya mengakhiri krisis yang melanda kelab berkenaan pada permulaan musim dalam aksi peringkat domestik.

Jaringan Gareth Bale, Cristiano Ronaldo, James Rodriguez, Karim Benzema dan gol sendiri pemain Basel memastikan juara 10 kali itu selesa untuk mempertahankan kejuaraan dalam Kumpulan B.

Lima tahun selepas penampilan terakhir dalam Liga Juara-Juara, Liverpool memerlukan sepakan penalti daripada Steven Gerrard dalam tiga minit masa tambahan - dua minit selepas Ludogorets menyamakan kedudukan - bagi mengutip tiga mata penuh di Anfield. - AP

Berita Harian X