Sabtu, 27 Jun 2015 | 7:48am

Liga Hoki Dunia: Hajat negara tak kesampaian

ANTWERP, Belgium: Hajat skuad hoki negara untuk mencuri satu mata ketika menentang tuan rumah Belgium tidak kesampaian apabila tewas 2-0 dalam aksi ketiga Kumpulan B Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Stadium KHC Dragons, awal pagi tadi.

Kekalahan itu yang pertama dialami anak buah Tai Beng Hai yang turut menyaksikan kedudukan mereka selaku pendahulu dirampas The Red Lions yang mengutip tujuh mata.

Namun skuad The Speedy Tigers masih mampu mengekalkan kedudukan selaku naib juara kumpulan dengan syarat mereka perlu bangkit menewaskan pasukan di ranking kelima dunia, Great Britain yang menduduki tempat ketiga dengan lima mata pada perlawanan terakhir, esok.

Apa pun, skuad The Speedy Tiger jelas beraksi tanpa gentar walaupun bermaini di

depan penyokong pasukan di ranking keempat dunia itu serta menjadi belasahan The

Red Lions 6-2 ketika di Piala Dunia The Hague, Belanda tahun lalu.

Buktinya mereka berjaya menyaingi dan mengekang lawan dalam 30 minit babak pertama dengan membuatkan anak buah Jeroen Delmee buntu dalam menembusi gawang yang dikawal Roslan Jamaluddin.

Malah satu-satunya pukulan sudut penalti pertama yang diperoleh lawan pada dua minit sebelum tamat babak pertama ditampan kemas Roslan sekali gus kedudukan 0-0

kekal sehingga siren dibunyikan.

Namun, senario berubah sebaik suku ketiga dengan tumpuan The Speedy

Tigers jelas mula luntur dan tidak dapat bertahan dengan asakan bertali arus The Red Lions.

Hasilnya selepas 38 minit gawang negara bocor apabila Dorian Thiery menyumbat gol pertama sebelum dua minit kemudian Simon Gougnard menjadikan kedudukan 2-0

selepas menampan kemas masuk hasil lantunan bola yang terkena palang.

Harapan skuad negara untuk merapatkan jurang apabila memperoleh pukulan sudut penalti pada minit ke-50 bagaimanapun gagal apabila tolakan kapten pasukan Muhammad Razie Rahim ditampan kemas penjaga gol lawan untuk kedudukan 2-0 kekal hingga tamat perlawanan.

Berita Harian X