Ahad, 28 Jun 2015 | 12:01am

Tidak rugi terbit buku puisi


SULTAN Nazrin melancarkan buku 'On Justice And The Nature Of Man' yang ditulis oleh Syed Muhammad Naquib. - Foto Rosela Ismail

JIKA sebelum ini menerbitkan buku puisi dianggap sebagai merugikan, tetapi mutakhir ini karya genre puisi mampu diulang cetak lebih tiga kali dalam tempoh dua tahun.

Lebih menarik, genre puisi menjadi pilihan pembaca muda malah penyair generasi baharu juga mampu mengungguli sayembara sastera kebelakangan ini.

Dalam banyak acara atau wacana sastera, buku puisi terutama karya penulis muda selalu diperkatakan berbanding prosa. Kehadiran buku puisi yang dicetak oleh penerbit indie seperti Selut Press atau Studio Anai-Anai diterima dengan baik seperti kecenderungan pembaca menyambut kehadiran karya terbitan penerbit besar seperti Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) atau Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Banyak faktor yang menyokong perkembangan sihat ini seperti kata Ketua Jabatan Komunikasi, Jualan dan Pemasaran, ITBM, Mohd Khairulanuar Mansor yang menganggap sambutan hangat disebabkan faktor kualiti, pembungkusan, penulis dan aktiviti selepas penerbitan buku itu.


SAFIYA Alias, 25, menunjukkan buku 'On Justice And The Nature Of Man'. - Foto Rosela Ismail

Penerbit besar, marginal

"Suatu ketika dulu, hanya DBP yang 'berani' menerbitkan buku puisi. ITBM pula menerbitkan buku puisi sebagai karya asli bermula tahun 2012, selain terdapat juga penerbit sastera marginal yang turut menerbitkan buku puisi.

"Menariknya, penerbit marginal ini walaupun penulis mereka tidak terlalu terkenal dalam arus sastera perdana, tetapi konsisten menggunakan laman sosial untuk berkongsi tentang hasil karya hinggalah hal peribadi.

"Strategi penulis sastera marginal kini sudah mula dipraktikkan oleh pengarang sastera perdana yang banyak memberikan impak positif kepada peningkatan pembacaan puisi dalam kalangan generasi muda," katanya.

Mohd Khairulanuar berkongsi pengalaman ITBM pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2015, baru-baru ini, yang menyaksikan sambutan hangat terhadap buku puisi.

Naskhah Dondang Pembukaan tulisan Lutfi Ishak dan Balada Pyanhabib (Pyanhabib) berada dalam senarai 10 buku terlaris sepanjang PBAKL 2015 itu.

Percaya kualiti kandungan buku


ANTARA hadirin majlis pelancaran buku 'On Justice And The Nature Of Man', karya Syed Muhammad Naquib. - Foto Rosela Ismail

Kejayaan Dondang Pembukaan mencatat jualan ketiga tertinggi juga adalah impak daripada kepercayaan pembaca terhadap kualiti kandungan buku tersebut yang juga pemenang tempat pertama kategori puisi dalam Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH 2.

"Sudah lama genre puisi tidak meriah seperti sekarang. Keadaan ini tentunya sama sekali tidak akan menenggelamkan prosa, bahkan akan menarik lebih banyak khalayak baharu kepada semua bidang dalam sastera," katanya.

Bagi pemilik syarikat penerbitan SeLUT Press, Sang Freud Press dan selutbook.com, Nurul Ashikin Abdul Hamid atau lebih dikenal sebagai Aloy Paradoks, pada peringkat awal ketika syarikatnya memutuskan untuk menerbitkan buku puisi, beliau mengalami banyak kerugian kerana ia bukan sesuatu yang sedang mengikut trend ketika itu.

"Kami teruskan juga kerana memikirkan walaupun ia tidak menguntungkan dan memberi pulangan, kami perlu teruskan juga supaya negara ada khazanah puisi untuk era ini. Jadi kami anggap ia sebagai khidmat sosial saja.

"Akhirnya dengan usaha dan pengeluaran berterusan, buku puisi semakin diterima oleh generasi baru dan pembaca muda," katanya.

Penerbitan berterusan, buka mata

Tambah Aloy, faktor yang memangkinkan kejayaan itu mungkin disebabkan usaha penerbitan yang berterusan yang membuka mata pembaca. Antara penulis puisi yang mendapat jualan tertinggi, termasuklah Fazleena Hishamuddin, Wani Ardy dan Nadhira Brundage.

Antara faktor yang memungkinkan kejayaan mereka termasuklah karya yang dekat dengan jiwa golongan muda masa kini daripada segi persoalan dan permasalahan yang mereka ajukan.

"Puisi di Malaysia akan menjadi semakin bagus, urban dan kritis. Ia perlu kerana penulis puisi masa kini yang akan merakam detik kehidupan kita masa kini untuk tatapan akan datang.

"Setiap hari muncul anak muda yang berminat dalam penulisan puisi. Sama ada bagus atau tidak itu hal lain tetapi yang penting lebih ramai berminat berbanding dulu kerana semakin banyak jumlah yang terbabit, semakin tinggi peratusan kita berjaya mendapatkan karya yang bagus," katanya.

Berita Harian X