Isnin, 29 Jun 2015 | 2:27pm

Tanah runtuh buat kali keempat

JOHOR BAHRU: Kejadian tanah runtuh di Kampung Tahana, Jalan Padu, Larkin tengah malam tadi dikatakan merupakan kejadian kali keempat.

Ia dikatakan menimbus enam buah rumah setinggan dan tiga buah motosikal serta nyaris mengorbankan 24 orang penduduk.

Seorang penduduk, Nasrullah Sukriadi, 22, berkata kejadian kali ketiga berlaku semasa bulan puasa ini, tapi kali ini ia adalah yang paling buruk.

"Ini satu-satunya laluan keluar masuk penduduk. Yang paling merisaukan ialah bagi budak-budak sekolah kerana kawasan ini kini agak berbahaya untuk dilalui," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata sejak pembinaan dijalankan di kawasan berhampiran, kawasan perkampungan itu bukan saja sentiasa terputus bekalan elektrik dan air, malah bertukar menjadi kotor akibat kerja-kerja pembinaan.

Menceritakan kejadian itu, Nasrullah berkata beliau sedang menonton televisyen apabila terdengar bunyi seperti puting beliung, sebelum bergegas keluar dari rumahnya.

"Pada masa yang sama, saya dengar orang jerit tanah runtuh. Kemudiannya saya lihat rumah mak cik saya telah ditimbus tanah. Mujur mak cik bersama sepupu saya sempat keluar," katanya.

Beliau berkata tanah runtuh berlaku kira-kira 20 minit sebelum berhenti.


SAIFUL Arif Rudi menunjukkan rumah jirannya yang rosak teruk akibat tanah runtuh di Kampung Tahana, Jalan Padu, Larkin tengah malam tadi. - Foto BERNAMA

Saiful Arif Rudi, 20, pula berkata beliau sedang memasak apabila terdengar bunyi kuat dari arah belakang rumahnya.

"Saya terpaksa menendang pintu dapur untuk keluar kerana ia telah tersekat. Bila saya keluar saya dapati tanah telah menimbus sebahagian belakang rumah saya," katanya yang telah membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

Ansari Najib, 24, berkata beberapa aduan telah dibuat termasuk yang terbaru seminggu sebelum bulan puasa menerusi 'Aduan Rakyat Online', tetapi masih belum ada tindakan susulan.

"Saya kini cuba meraih sokongan penduduk lain untuk membuat laporan kepada Majlis Bandaraya Johor Baharu," katanya.

Beliau berkata setiap kali berlaku kejadian tanah runtuh, bekalan air dan elektrik akan terputus. - BERNAMA

Berita Harian X