Selasa, 30 Jun 2015 | 12:12am
ROZITA Che Wan bahagia bersama suami, Zain Saidin.
ROZITA Che Wan bersama anaknya, Aaisyah Dhia Rana.

Che Ta perjelas isu duta produk wanita


BERBICARA dengan pelakon, Rozita Che Wan atau lebih mesra dipanggil Che Ta cukup menghiburkan. Ada saja cerita lucu yang dikongsinya sehingga mereka yang mendengar ketawa terbahak-bahak.

Sikap Che Ta yang lurus dan tidak kisah dengan kata-kata dan tanggapan orang membuatkan isteri kepada pelakon, Zain Saidin ini cukup disenangi.

Ditambah dengan loghat Kedah yang pekat membuatkan siapa saja tidak terasa seperti duduk berbual dengan selebriti berkarisma ini setiap kali beliau muncul di kaca televisyen (TV) mengendalikan program bual bicara atau berlakon.

Sebagai contoh, siapa yang boleh tahan ketawa apabila tiba-tiba Che Ta bercerita mengenai keputusannya menerima tawaran menjadi duta produk pembersihan kewanitaan.

Walaupun dalam situasi hari ini ia bukanlah satu perkara tabu, namun apabila Che Ta yang akan menjadi jurucakapnya, pasti ia akan mengundang senda ramai.

Apatah lagi Che Ta adalah antara selebriti yang sering menjadi perhatian peminat malah dianggap ikon wanita cantik pada usia matang. Apa saja yang dilakukannya pasti akan menjadi bahan bualan ramai. Justeru apakah beliau bersedia untuk berdepan dengan kata-kata nista khalayak apabila bersetuju untuk menjadi jurucakap kepada produk terbabit.

"Bagi saya, tak salah rasanya jika saya menjadi duta produk itu. Ini berkaitan dengan soal kesihatan dan kebersihan. Lagipun benda itu bukanlah sesuatu yang baru. Ia juga sama seperti produk penjagaan kesihatan dan kebersihan yang lain," katanya.


ROZITA Che Wan dianggap ikon wanita cantik pada usia matang.

Ajak jaga kebersihan diri

Enggan mengambil kisah, Che Ta menerima apa sahaja pandangan orang terhadap keputusannya menjadi jurucakap produk pembersihan kewanitaan itu.

"Biasalah orang akan cakap apa saja dan saya tak kisah dengan pandangan orang. Saya cuma mahu mengajak wanita mengamalkan penjagaan kebersihan luaran mereka dengan produk ini.

"Apa yang penting, saya dapat memberikan sesuatu yang berfaedah kepada semua wanita dan saya dapat ganjaran lumayan dalam melaksanakan tugas itu," katanya berterus terang.

Che Ta juga tidak pernah menganggap menjadi duta kepada produk seumpama itu seperti mempromosikan bahan lucah.

"Kita kena bersikap lebih terbuka kerana seperti yang saya katakan tadi, ia hanyalah produk menjaga kebersihan khusus untuk wanita.

"Iklan produk itu nanti biasa saja dan masih lagi menjaga sensitiviti masyarakat," terangnya ketika ditemui pada majlis buka puasa dan meraikan anak yatim di The Royale Chulan Damansara, Petaling Jaya, baru-baru in

Jika tiada aral melintang, pelakon yang terkenal dengan imej bulu mata palsu ini akan menandatangani kontrak dengan pengeluar produk berkenaan, tidak lama lagi.


ROZITA Che Wan mengenakan legging warna kulit dan seluar hitam pendek serta yang dikongsi di laman Instagram ketika bercuti di Eropah.

Bengang terus dikecam isu legging

Sekeping gambar yang menampakkan Che Ta mengenakan legging warna kulit dan seluar hitam pendek serta boot yang dikongsi di laman Instagram ketika bercuti di Eropah, baru-baru ini mengundang kecaman ramai.

Teruk pelakon yang terkenal dengan watak Kiah Pekasam ini dihentam pengikutnya gara-gara gambar yang didakwa tidak selari dengan imejnya yang sudah berhijab.

Walaupun sudah menerangkannya di laman sosial, namun Che Ta terus dihentam sehingga beliau berasakan perlu untuk memberi kenyataan bagi menjernihkan suasana.

Che Ta menjelaskan, dirinya masih waras untuk mengenakan seluar pendek seperti yang didakwa pengikut di laman sosialnya itu.

"Seluar atau legging itu sebenarnya warna kuning. Apabila dilihat dalam kamera, warnanya memang kuning tapi tak sangka pula selepas disunting dan dimuat naik di Instagram, ia kelihatan seperti warna kulit," katanya.


ROZITA Che Wan bersama wangian menggunakan namanya.

Mahu terus stailo

Che Ta berkata, beliau belum sampai ke tahap 'gila' untuk menyarung seluar pendek dan bertudung.

"Saya sebenarnya malas nak komen pasal perkara ini. Tapi mereka ini semua tak faham bahasa dan tetap nak mencari kesalahan orang lain.

"Selepas ini, saya tak kisah kalau orang nak kata. Kritikan itu tidak akan mematahkan niat saya untuk bergaya dan berfesyen," tegasnya.

Berita Harian X