Selasa, 30 Jun 2015 | 12:42pm
MANGSA, Dina Shuhadah Ahmad Fariz maut di Jalan Kuala Pilah menuju ke Seremban. - Foto Khairul Najib Asarulah Khan.

Pelajar perempuan maut digilis treler di Seremban

SEREMBAN: Seorang pelajar perempuan Tingkatan Lima, maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabit kemalangan dengan sebuah kereta dan treler di Jalan Seremban-Kuala Pilah, Ampangan dekat sini, pagi ini.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun, berkata dalam kejadian jam 6.50 pagi itu, mangsa Dina Shuhadah Ahmad Fariz, 17, dari Taman Lavender Height dikatakan dalam perjalanan dari arah Kuala Pilah menuju ke Seremban apabila motosikalnya hilang kawalan selepas bergesel dengan sebuah kereta dari arah yang sama.

Katanya, dalam masa yang sama terdapat sebuah treler melalui arah yang sama dan mangsa terjatuh bersama motosikalnya sebelum digilis di bahagian tayar belakang treler berkenaan.

Beliau berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di badan dan kepala.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk dibedah siasat.

Katanya, pemandu kereta dan pemandu treler bagaimana pun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, siasatan masih dijalankan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

- BERNAMA

24 dibaca
Berita Harian X