Selasa, 30 Jun 2015 | 10:47pm

Kencing tikus: Jangkitan bukan berpunca daripada air tebu

KUALA LUMPUR: Jangkitan bakteria disebabkan kencing tikus atau leptospirosis yang dikaitkan dengan penyebaran gambar seorang pesakit di laman sosial, baru-baru ini, bukan berpunca daripada air tebu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pesakit itu dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas mengalami demam selama tiga hari.

Beliau berkata, ketika dirujuk ke PPUM pada 26 Jun lalu, pesakit itu turut menunjukkan tanda klinikal yang boleh dikaitkan dengan jangkitan leptospirosis seperti pening, sakit perut, muntah dan cirit-birit.

"Keputusan ujian makmal masih belum diperoleh, bagaimanapun siasatan lanjut berhubung punca jangkitan mendapati pesakit berkemungkinan dijangkiti leptospirosis.

"Pesakit ada melakukan aktiviti rekreasi dan mandi di Lata Lembek FELDA Tersang, Raub, Pahang bersama rakannya pada 13 dan 14 Jun lalu. Dimaklumkan, beberapa rakannya turut mengalami gejala demam dan sakit sendi, tetapi semuanya disahkan sihat ketika ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Gambar pesakit yang terlantar di wad PPUM itu tersebar di laman sosial dan didakwa berpunca daripada air tebu yang dibeli di bazar Ramadan.

Dr Noor Hisham menjelaskan, kes leptospirosis itu tiada kaitan dengan air tebu kerana semua rakannya sihat walaupun berkongsi minuman yang sama.

"Sehingga kini tiada kes tambahan atau kluster (kelompok) dilaporkan mengenai risiko jangkitan leptospirosis selepas meminum air tebu yang dibeli di bazar Ramadan pada 23 Jun lalu," katanya.

Beliau juga menegaskan perbuatan menyebarkan gambar pesakit tanpa persetujuannya dan ahli keluarga adalah salah.

Sehubungan itu, media dan orang ramai diminta supaya menghormati hak ahli keluarga serta pesakit yang kini mendapatkan rawatan sepenuhnya.

14 dibaca
Berita Harian X