Rabu, 1 Julai 2015 | 1:02pm

Johor tidak bercadang buat pembenihan awan

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri tidak bercadang untuk membuat pembenihan awan memandangkan potensi untuk hujan masih tipis dengan cuaca panas juga masih dalam keadaan terkawal, kata anggota EXCO negeri Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat, berkata meskipun Johor mengalami musim cuaca panas yang bermula Mei hingga September ini yang menyebabkan keadaan suhu di beberapa tempat meningkat, ia masih berada dalam keadaan terkawal pada tahap 34 hingga 35 darjah Celsius.

Beliau berkata, cuaca panas ini telah menyebabkan paras air di beberapa empangan di Johor turut susut dan memberi kesan dari segi kesihatan.

"Sekarang ini awan kumulus yang boleh digunakan bagi proses pembenihan awan itu tidak ada di kawasan dan kalau kami buat pun, kebarangkalian untuk berhasil (hujan) rendah, maka buat masa ini kami tidak bercadang untuk buat pembenihan awan kerana tahap kejayaan kurang," kata beliau kepada pemberita selepas majlis buka puasa di sini malam tadi.

Ayub berkata demikian ketika mengulas sama ada pembenihan awan akan dijalankan memandangkan cuaca panas telah menyebabkan beberapa empangan di Johor mengalami kesusutan paras air.

Paras air di empat empangan di Johor iaitu Bekok, Sembrong, Machap dan Labong masih stabil manakala Empangan Sungai Lebam dan Upper Layang telah berlaku penurunan paras air.

Bagaimanapun, kata Ayub, tiada catuan air diperlukan dan diharapkan keadaan kekal stabil sehingga September.

"Bagaimanapun, kita nasihatkan masyarakat agar menjadualkan penggunaan air mereka, jangan membazir dan sebagainya," katanya.

Ketua Komunikasi Korporat Syarikat Air Johor Holdings Sdn Bhd (SAJ), Jamaluddin Jamal, semalam dilaporkan sebagai berkata paras Empangan Sungai Lebam, dekat Kota Tinggi dan Empangan Upper Layang, Masai, di sini, menyusut 0.03 meter setiap hari.

"Empangan Sungai Lebam yang merekodkan paras 10.21 meter ketika ini melebihi paras kritikal 12.27 meter manakala Empangan Upper Layang merekodkan paras 20.62 meter melebihi paras kritikal 23.5 meter," katanya.

Ayub berkata, meskipun cuaca panas masih dilihat dalam keadaan terkawal, rakyat di negeri ini dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga agar mengurangkan aktiviti luar yang terdedah kepada cahaya matahari panas terik bagi mengelakkan strok haba dan penghidratan.

Beliau berkata, sebarang tanda masalah penghidratan seperti pening kepala, kulit kering, badan terasa sejuk dan dalam masa yang sama demam panas perlulah segera dirujuk ke klinik kesihatan untuk rawatan segera bagi mengelakkan ia berpanjangan yang boleh mengakibatkan implikasi lebih teruk kepada kesihatan.

- BERNAMA

Berita Harian X