Rabu, 1 Julai 2015 | 8:50pm

1,657 kemalangan, 58 maut di LPT 2 sejak 2011

ROSLI (kiri) menunjukkan gambar kawasan yang selalu berlaku kemalangan pada sidang media di IPK Terengganu hari ini. - Foto Aswadi Alias
ROSLI (kiri) menunjukkan gambar kawasan yang selalu berlaku kemalangan pada sidang media di IPK Terengganu hari ini. - Foto Aswadi Alias

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 1,657 kes kemalangan dicatatkan di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2), yang menghubungkan Jabor, Kemaman ke Gemuruh, Kuala Terengganu, yang mula beroperasi sejak Ogos 2011.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab Rahman, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 50 kes kemalangan maut direkodkan membabitkan 58 kematian.

Katanya, dalam laluan sejauh 184 kilometer itu, daerah Hulu Terengganu mencatat jumlah terbanyak kemalangan iaitu 31 kes diikuti Dungun (12 kes) dan Kemaman (tujuh kes).

"Bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini, sejumlah 385 kes kemalangan dilaporkan dan 16 kes daripadanya adalah kemalangan maut," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini, hari ini.

Turut hadir, wakil Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR).

Beliau berkata, sikap pengguna LPT 2 yang memandu laju dengan purata kelajuan melebihi had laju ditetapkan selain kenderaan terbabas menjadi punca utama kemalangan di lebuh raya itu sehingga meragut banyak nyawa.

Rosli berkata, faktor mengantuk dan langgar belakang adalah punca kedua tertinggi iaitu sebanyak 38 kes disusuli langgar lembu (34 kes), tayar pancit atau tayar pecah serta binatang liar masing-masing 20 kes.

"Hasil kajian kami mendapati kebanyakan kes kemalangan di LPT2 berpunca daripada sikap pemandu yang memandu laju serta kenderaan terbabas. Ini menunjukkan kecuaian manusia, bukannya disebabkan keadaan jalan beralun dan mendap yang dikatakan menjadi penyebab.

"Kemalangan juga kerap berlaku di lokasi di antara KM250 ke KM270 iaitu di Jabor dan Cheneh selain di KM370 hingga KM390 di Ajil dan Bukit Besi serta di kawasan Ajil dan Bukit Besi, dengan

enam kes kemalangan maut," kata Rosli sambil menambah kebanyakan kemalangan berlaku di jalan lurus serta sewaktu cuaca panas.

Beliau turut menasihatkan pengguna lebuh raya berkenaansupaya berhati-hati terutama menjelang musim perayaan tidak lama lagi bagi mengelak kejadian tidak diingini. - BERNAMA

Berita Harian X