Khamis, 2 Julai 2015 | 12:05am
DIDIE bersama penyanyi Indonesia, Afgan pada Minggu Setiausaha di Menara Kuala Lumpur. - Foto Hasriyasyah Sabudin
DIDIE akan menguruskan semua hal perkahwinan anaknya dari A hingga Z. - Foto Zunnur Al Shafiq

Didie Alias rela anak kahwin muda


PADA 30 Jun lalu, pelakon, pelawak, pengacara, Didie Alias, yang kini bergelar penerbit meraikan ulang tahun kelahiran ke-22 anak sulungnya, Dhaniyah Ridzuan.

Kurang 60 hari lagi, Dhaniyah, anak hasil perkongsian hidupnya menerusi perkahwinan pertama dengan pelakon, Ridzuan Hashim, bakal 'dilepaskan' pula apabila bakal bergelar isteri.

Hati ibu mana yang tak terusik saat anak kesayangan yang selama ini dijaga dan ditatang sepenuh hati bakal meninggalkan dirinya untuk membina keluarga baharu.

Namun, Artis Komedi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011, 2012 dan 2014 itu, reda kerana mahu setiap anaknya mengecapi kebahagiaan, malah beliau tidak melihat usia muda anaknya itu sebagai satu halangan untuk memikul tanggungjawab besar sebagai seorang isteri, bermula 8 Ogos nanti.

"Selama 22 tahun membesarkan dia dalam apa sahaja rintangan dan dugaan yang diberikan Tuhan. Saya bangga dapat membesarkan anak yang dikurniakan dengan rezeki yang diterima saban hari. Saya sendiri bangga dengan dia (merujuk kepada Dhaniyah) yang berjaya dalam bidang yang diceburinya. Tak lama lagi saya akan lepaskan tanggungjawab saya menjaganya.

DIDIE akan memberi perhatian penuh pada urusan perkahwinan anaknya selepas Aidilfitri. - Foto Zunnur Al Shafiq

"Sebagaimana susah dan perit membesarkan anak, saya juga mahu dia menjadi isteri dan ibu yang baik kelak walau apa sahaja dugaan yang mendatang," katanya sambil mengakui berasa sedih dan teruja pada masa yang sama.

Ditemui ketika rakaman program Stailo Ke Idok terbitan syarikatnya sendiri, D&Z International Productions, baru-baru ini, Didie berkata, beliau akan memberi perhatian penuh pada urusan perkahwinan anaknya selepas Aidilfitri.

"Sekarang, saya sedang sibuk melunaskan rakaman program Stailo Ke Idok dan kemudian beraya sekejap sebelum fokus kepada hal perkahwinan anak dara ini. Insya-Allah, dia bakal disatukan dengan lelaki pilihannya 8 Ogos ini. Saya pastinya akan mengundang rakan media yang selama ini tak jemu menyokong bagi sama-sama memeriahkan majlis perkahwinan itu.

"Saya akan uruskan semua hal kahwin ini dari A sampai Z. Saya ini umpama perancang perkahwinanlah. Anak sulung dan yang pertama kahwin, saya tak kisah mengerah tenaga dan masa. Dia (Dhaniyah) pun nak saya uruskan hal kahwin. Bapanya (Ridzuan Hashim) pun mainkan peranannya, termasuk menemani dia menguruskan hal perkahwinan yang membabitkan dokumen itu ini.

"Penat yang belum hilang nampaknya akan bertambah lagi selepas ini. Tapi, saya tak ralat kerana saya percaya mereka yang bergelar ibu juga pasti akan melakukan perkara yang sama. Alhamdulillah dengan rezeki yang dilimpahkan dan bertambah, saya dapat kongsi semuanya untuk kebaikan serta kesenangan anak," katanya.

DIDIE bersama permata hati, Muhammad Dayyan Norisham. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Ditanya mengenai latar belakang bakal menantunya, Didie secara ringkas berkata, beliau berusia 27 tahun dan bekerja sebagai pereka grafik.

Bersembang lanjut mengenai program Stailo Ke Idok yang dihos serta diterbitkannya, Didie memberitahu program yang melakukan transformasi diri dan gaya kepada insan biasa itu diarahkan Amor Rizan. Ia akan bersiaran secara istimewa pada musim raya nanti di Astro Ria selain akan disiarkan sebanyak 13 episod kemudiannya.

Stailo Ke Idok adalah projek kedua terbitan syarikat D&Z International Productions, selepas program Didie Balik Kampung, yang menjurus kepada program realiti kekeluargaan.

"Saya turut mengundang rakan artis, termasuk pelawak sebagai artis jemputan dan juri untuk program Stailo Ke idok. Seramai lebih kurang 20 artis saya jemput untuk rakaman program ini. Peserta pula dalam kalangan orang awam yang kita jemput untuk dijadikan 'artis' ciptaan kita. Peserta ini akan menjalani transformasi diri dan gaya dengan bajet 'ciput' (kecil) yang diberikan juri jemputan setiap episod.

"Dalam setiap episod itu, saya akan berentap sendiri dengan artis jemputan yang diberi tugasan untuk mengubah gaya dan diri peserta terpilih. Mereka akan bersaing sama ada stailo atau tidak. Peserta yang terpilih ini daripada mereka yang menghantar e-mel untuk menyertai acara ini. Daripada situ, artis jemputan dan saya akan menerjah peserta ini di tempat kerja mereka.

DIDIE menyifatkan ruang menubuhkan rumah produksi sendiri itu adalah bukti yang dia tidak mahu terlalu selesa dengan apa yang dilakukan. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

"Selepas itu, peserta akan dibawa ke butik atau salun untuk sesi transformasi. Andai bajet tak mencukupi, artis jemputan juga perlu bijak mendapatkan penajaan. Setiap episod juga akan ditetapkan tema dan diumumkan pemenang. Peserta yang kalah atau tak stailo akan kena hukuman. Nak tahu apa hukumannya, kena tunggu episod pertama dan seterusnya," kata Didie.

Rakaman program itu bermula sejak 22 Jun lalu hingga 7 Julai. Antara artis dan selebriti yang diundang ialah Michael Ang, Fasha Sandha, Ieda Moin, Saiful Apek, Abam Bocey, Taukeh Jambu, Yasmin Hani, Ifa Raziah, Zulin Aziz dan Ayie Ali.

Sebelum menubuhkan D&Z International Productions, Didie terlebih dahulu melahirkan Didies Entertainment & Management, 10 tahun yang lalu. Bagi Didie, ruang menubuhkan rumah produksi sendiri itu adalah bukti yang dia tidak mahu terlalu selesa dengan apa yang dilakukan dan mencabar diri melakukan kerja penerbitan, seterusnya pengarahan pula.

"Alhamdulillah saya sudah berjaya sebagai pengacara dan pelakon, kini saya nak ke satu tahap lain pula iaitu berjinak-jinak dengan kerja penerbitan. Selepas ini, insya-Allah, matlamat saya nak fokus pengarahan pula. Mungkin mengarah filem, drama atau program santai. Saya tidak berdepan masalah besar dalam kerja menerbit kerana sebelum ini pun pernah memikul mandat sebagai pengurus produksi," katanya.

Mengenai destinasi raya, Didie sekeluarga akan beraya di Melaka.

"Kampung suami saya di Negeri Sembilan sahaja. Umpamanya kalau bersin pun sampai," seloroh Didie mengakhiri perbualan.

DIDIE ketika meraih anugerah Artis Komedi Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular BH 2014. - Foto Munira Abdul Ghani

Info Didie Alias

  • Perkahwinannya dengan bekas pemain bola sepak pada tahun 2009, Norisham Ismail, bertambah bahagia dengan kelahiran permata hati, Muhammad Dayyan Norisham.
  • Menerusi perkahwinan terdahulu, Didie dikurniakan lima anak yang sudah meningkat remaja iaitu Nur Dhaniyah, Muhammad Dhanial, Nur Dinie, Nur Dayini Ahza dan Nur Diyana.
Berita Harian X