Jumaat, 3 Julai 2015 | 8:59pm

Sultan Selangor berbuka puasa bersama warga UPM

SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah (dua dari kanan) berkenan menerima Penyerahan Zakat Perniagaan Universiti Putra Malaysia (UPM) Holdings Sdn Bhd pada Majlis Berbuka Puasa Dan Solat Tarawih di Universiti Putra Malaysia hari ini.Turut hadir Naib Canselor UPM Datuk Dr. Mohd Fauzi Haji Ramlan (kanan). - foto BERNAMA

SERDANG: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan menghadiri majlis berbuka puasa bersama warga Universiti Putra Malaysia (UPM) di Masjid UPM di sini.

Majlis berbuka puasa itu dihadiri kira-kira 1,000 warga UPM termasuk komuniti di masjid.

Pada majlis itu, baginda turut berkenan menerima sumbangan Wakaf Ilmu UPM daripada orang perseorangan, rakan korporat UPM dan kakitangan universiti berjumlah RM685,253.11.

Wakaf Ilmu itu bertujuan memudahkan warga dan alumni UPM serta masyarakat memberi sumbangan berpandukan konsep wakaf untuk membantu pembiayaan aktiviti akademik, penyelidikan dan kemajuan ilmu UPM.

Baginda yang juga Canselor UPM turut berkenan menerima zakat perniagaan sebanyak RM233,125.00 yang diserahkan oleh Pengerusi UPM Holdings, Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali.

Baginda kemudian menyampaikan sumbangan duit raya berjumlah RM24,000 kepada 42 pelajar UPM yang juga anak yatim, asnaf dan saudara baharu.

Mengiringi baginda ialah Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali.

- BERNAMA

Berita Harian X