Khamis, 18 September 2014 | 5:46pm

Terengganu lawan Harimau Malaya pada aksi amal, minggu depan

KUALA TERENGGANU: Peminat bola sepak di pantai timur berpeluang menyaksikan aksi persahabatan antara pasukan kebangsaan dan Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada 24 September ini.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Marzuki Sulong berkata perlawanan itu adalah bagi mengutip dana untuk disumbangkan kepada badan kebajikan.

Beliau berkata badan-badan kebajikan terbabit ialah Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Seberang Takir, Persatuan Pembangunan Orang Kurang Upaya Anggota Wakaf Tapai, Rumah Orang Tua Bukit Payong, Darul Hilmi Seberang Takir dan Tabung Bantuan Gaza.

Beliau yang juga pengurus pasukan Terengganu berkata tiket untuk menyaksikan perlawanan berharga RM10 bagi tempat terbuka dan RM30 bagi tempat berbumbung.

"Ini pertama kali pasukan kebangsaan yang dibimbing Dollah Salleh datang dan mengadakan perlawanan amal di Terengganu," katanya.

Marzuki berkata perlawanan itu juga akan dijadikan sebagai pemanas badan sebelum Terengganu bertemu Johor Darul Takzim dalam pertandingan suku akhir pertama Piala Malaysia di Johor awal bulan depan. - BERNAMA

Berita Harian X