Selasa, 7 Julai 2015 | 12:05am

Roket hantar bekalan ke ISS

NAMA Yuri Alekseyevich Gagarin, kekal dalam sejarah sebagai manusia pertama dihantar menerokai angkasa lepas, pada 12 April 1961.

Misi pertama Russia dalam penjelajahan angkasa lepas itu, membuka lembaran baharu pembangunan dan penyelidikan sains sehingga membawa kepada pelancaran Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada 20 November 1998.

ISS yang mengelilingi orbit rendah bumi, berfungsi menyalurkan pelbagai maklumat, khususnya perubahan cuaca, iklim dan merekodkan peredaran berjuta asteroid di angkasa lepas.

Malah, ISS menyumbang dalam penyelidikan pelbagai cabang sains, antaranya tisu kultur, sains fizikal dan perubatan sehingga merekodkan siri penemuan baharu yang melonjak pengetahuan manusia mengenai alam semesta.

Ketika ini, penyelidikan dan pemantauan di ISS, dikendalikan tiga angkasawan, termasuk dua warga Russia, Gennady Padalka dan Mikhail Korniyenko.

Kapten Scott Kelly yang bersara daripada Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) pula adalah wakil tunggal negara itu yang bertugas di ISS sejak Mac lalu.

SOYUZ TMA-19M .

Setiap tahun, bekalan makanan, perubatan dan peralatan untuk penyelidikan dihantar kepada petugas ISS, dengan menggunakan roket kawalan jauh atau dihantar bersama angkasawan yang mengambil giliran ke sana.

Bekalan baharu seberat dua tan dihantar menggunakan roket Falcon 9 versi 1.1 milik SpaceX, berlepas dari tapak pelancaran di Cape Canaveral, Florida, AS, pada 28 Jun lalu.

Bagaimanapun, dua minit dari pelepasannya ketika terbang melepasi orbit rendah bumi pada kelajuan bunyi iaitu 340 meter sesaat, roket kawalan jauh bernilai AS$61.2 juta (RM232 juta) itu tiba-tiba meletup.

Siasatan awal mendapati roket milik SpaceX, firma yang berpangkalan di California, AS, itu mengalami kebocoran muatan oksigen cecair (LOX) pada bahagian pelancar pertama.

Kargo dikenali sebagai 'Dragon' dan terletak di puncak pelancar kedua roket itu dilaporkan musnah bersama bekalan yang dibawa sejurus letupan.

ROCKET Russian Soyuz

Susulan insiden berkenaan, roket Russian Soyuz segera mengambil alih tugas Falcon 9, menghantar bekalan makanan dan alat ganti bagi menjamin kelancaran operasi harian ISS.

Roket Progress M-27M yang berlepas dari tapak pelancaran kapal angkasa Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan, jam 12.55 tengah hari, Jumaat lalu itu membawa tiga tan makanan, minyak dan bekalan asas untuk tiga kru ekspedisi-44 di ISS.

INFO

Roket SpaceX - Falcon 9

  • Tinggi, 68.4 meter
  • Keratan rentas, 3.7 meter
  • Berat, 505,846 kilogram (505 tan)
  • 2 fasa bahan api
  • Muatan boleh tampung (orbit rendah bumi), 13,150 kilogram
  • Muatan boleh tampung (orbit angkasa lepas), 4,850 kilogram
  • Misi ke-19 roket SpaceX

Bahan api pertama

  • Dilengkapi 9 enjin
  • Pembakaran selama 180 saat
  • Tujahan dari permukaan laut, 5,885 kilo Newton
  • Tujahan di angkasa lepas, 6,672 kilo Newton
  • Bahan api kedua

  • Enjin tunggal
  • Pembakaran selama 375 saat (dua kali lebih lama daripada peringkat pertama)
  • Tujahan di angkasa lepas, 801 kilo Newton
  • Antara muatan Falcon 9

  • 690 kilogram bekalan kru seperti makanan, peralatan eksperimen sains, ubat dan fail maklumat operasi.
  • 36 kilogram sumber komputer iaitu cakera keras, alat perakam video, kabel penyambut, komputer tiba dan pemancar visual.
  • 462 kilogram alat ganti ISS
  • Seunit penyesuai cantum antarabangsa
  • Roket Soyuz, Russian Progress M-27M

    • Berlepas 3 Julai 2015
    • 520 kilogram bahan api ISS
    • 420 kilogram air
    • 48 kilogram oksigen
    • 1,393 kilogram kargo kering, antaranya makanan, ubat, bateri, komputer, alat pemadam api, alat eksperimen sains dan peralatan asas.
    Berita Harian X