Rabu, 8 Julai 2015 | 9:12am

Polis tunggu laporan bedah siasat kes bayi dikerat enam

KETUA Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya. - Foto Danial Noordin

ALOR SETAR: Polis akan menunggu laporan bedah siasat ke atas beberapa bahagian anggota badan bayi yang ditemui di dalam tangki septik di sebuah rumah di Jitra, untuk menentukan status kes sama ada membabitkan bunuh atau sekadar menyembunyikan kelahiran.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya, berkata sehingga kini semua anggota badan yang ditemui sudah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk prosedur forensik.

"Setakat ini klasifikasi kes kes masih dipertimbangkan sama ada mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang bayi, atau Seksyen 302 kanun sama kerana membunuh...apa pun kita tunggu laporan bedah siasat," katanya.

Kelmarin, polis menerima maklumat daripada Hospital Jitra mengenai seorang pesakit wanita berusia lingkungan 20-an yang membuang bayi yang baru dilahirkan ke dalam tong sampah.

Bagaimanapun hasil siasatan lanjut polis membawa kepada penemuan beberapa anggota badan bayi yang dipotong di dalam tangki septik di rumah keluarga wanita terbabit di sini, dipercayai dibuang melalui lubang tandas.

Sehingga kini, enam bahagian badan bayi terbabit sudah ditemui, manakala baki beberapa lagi anggota badan masih hilang.

Berita Harian X