Jumaat, 10 Julai 2015 | 7:44am

Serena, Muguruza bertembung di final Wimbledon


PEMAIN Amerika Syarikat, Serena Williams (kanan) gembira selepas menewaskan Maria Sharapova 6-2, 6-4 pada separuh akhir tenis Wimbledon. - Foto AFP

LONDON: Pemain tenis wanita nombor satu dunia, Serena Williams dan pemain meningkat naik dari Sepanyol, Garbine Muguruza akan bertembung pada final tenis Wimbledon.

Serena melangkah ke perlawanan akhir selepas menewaskan Maria Sharapova 6-2, 6-4 dalam masa 79 minit di Centre Court, malam tadi dengan juara lima kali Wimbledon itu melebarkan rekod pertemuan menang 18 kali daripada 20 pertemuan dengan Sharapova.

Pemain Amerika Syarikat berusia 33 itu akan melangkah masuk ke gelanggang final untuk kali ke-25 kejohanan Grand Slam dengan lapan daripadanya di Wimbledon.

Sarena akan mengejar untuk kejuaraan major ke-21.

"Saya agak gementar sedikit kerana ia perlawanan separuh akhir dan sudah berapa lama saya mencapai tahap ini di Wimbledon. Saya amat teruja untuk ke akhir," kata Serena yang tidak langsung memberi peluang kepada Sharapova untuk merampas set daripadanya.

"Ia mudah mudah nanti (final) namun ketika dia (Muguruza) meningkatkan tahap permainannya, saya pun melakukan yang sama," katanya.


PEMAIN Sepanyol, Garbine Muguruza meraikan kemenangannya menewaskan Agnieszka Radwanska dari Poland, 6-3, 3-6, 6-3 sekaligus layak ke final Wimbledon bertemu Serena. - Foto AP

Berbeza dengan Serena yang menerima jalan mudah ke final, Muguruza, 21, pula terpaksa mengerah tenaga dalam permainan dua jam untuk menumpaskan pemain Poland yang juga pemain pilihan ke-13, Agnieszka Radwanska 6-2, 3-6, 6-3.

Dia menjadi pemain wanita Sepanyol pertama dalam masa 19 tahun untuk melangkah ke final Wimbledon.

Arantxa Sanchez-Vicario adalah pemain terakhir Sepanyol beraksi di final All England Club, manakala Conchita Martinez adalah pemain terakhir Sepanyol muncul juara Wimbledon pada tahun 1994.

"Saya bekerja sepanjang usia saya untuk ini, tiada perkataan mampu diucapkan," kata Muguruza yany terkenal dengan pukulan deras.

Dia merancang untuk menerbangkan keluarganya ke London untuk menyaksikannya bertanding kali pertama dalam final Grand Slam.

"Ia permainan yang sukar. Agnieszka mempunyai banyak pengalaman namun saya tetapkan tekad untuk terus melawannya," kata Muguruza.

Sebelum ini Muguruza melangkah dua kali ke suku akhir Terbuka Perancis dan kalah dua daripada tiga pertemuan dengan Serena. - AFP

Berita Harian X