Jumaat, 10 Julai 2015 | 12:07pm

Debu letusan Gunung Raung ganggu aktiviti penerbangan


Gunung Raung.

JAKARTA: Lima lapangan terbang di Indonesia terpaksa ditutup termasuk di Bali dan Lombok, akibat gangguan letusan debu gunung berapi di Jawa Timur.

Sumber dari pengendali penerbangan menyatakan, debu Gunung Raung itu menghalang pemandangan dan dikhuatiri akan membahayakan operasi.

Lapangan terbang yang ditutup itu adalah Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai Bali; Lapangan Terbang Antarabangsa Lombok; Lapangan Terbang Blimbingsari, Banyuwangi dan Lapangan Terbang Notohadinegoro, Jember.

Penumpang yang bakal menaiki penerbangan akan ditangguh ke tarikh lain sehingga keadaan cuaca membolehkan pesawat terbang, manakala setiap syarikat penerbangan membuka talian khas untuk penumpang.

Naib Presiden Komunikasi Korporat Garuda Indonesia, Ikhsan Rosan berkata, penumpang dinasihatkan menghubungi talian khas yang dibuka bagi mengetahui status penerbangan mereka.

Katanya, selain penerbangan domestik, semua penerbangan antarabangsa juga terpaksa ditunda sehingga diberitahu kelak.

Gunung Raung di Jawa Timur mula mengeluarkan debu sejak Khamis lalu dan sehingga kini ia semakin aktif mengeluarkan debu yang boleh dilihat hampir 100 kilometer.

- Detik Indonesia

16 dibaca
Berita Harian X