Sabtu, 11 Julai 2015 | 12:04am

Ulama Ahlul Bait martabatkan tulisan jawi, jati diri Islam


SERAMAI lebih 400 juta umat Islam wujud di Asia Tenggara sehingga kini tetapi angka itu mungkin tidak dicapai tanpa kehadiran ulama besar yang memainkan peranan dalam perkembangan awal Islam di alam Melayu sejak 900 tahun lalu.

Pembentukan pemikiran penduduk Melayu Nusantara khususnya dalam bidang falsafah, tasawuf dan usuluddin, pandangan terhadap dunia serta kehidupan mereka diwarnai ajaran ulama terutama berbangsa Arab keturunan Rasulullah SAW yang sinonim dengan istilah Ahlul Bait menerusi kitab karangan yang diajar di surau, masjid, institusi, pondok dan madrasah.

Pengkaji tamadun Islam di alam Melayu, Tun Suzana Tun Othman, berkata era keemasan Nusantara dikuasai oleh golongan ulama yang turut menjadi pencetus kepada tulisan jawi, melahirkan generasi tinggi leluhur dan adab serta bangsa kaya dengan budaya.


PENGASAS Pertubuhan Kesedaran Melayu dan Islam (KEMUDI), Tun Suzana Tun Othman. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Selain usaha penyebaran Islam, ulama juga antara pencetus kepada kelahiran bahasa Melayu klasik bagi memperjelaskan konsep Islam dalam pelbagai bidang seperti falsafah, tauhid, tasawuf dan feqah.

"Sebelum muncul bahasa dan tulisan jawi, orang Melayu menggunakan bahasa Melayu rencong tetapi ia hanya setakat untuk berdagang dan bahasa yang digunakan itu pula tidak mengandungi falsafah, apatah lagi ilmu ketuhanan serta ketauhidan.

"Apabila ulama datang untuk mengislamkan penduduk di alam Melayu dan membawa kefahaman Islam, mereka tidak mengambil rencong atau sanskrit, sebaliknya membentuk bahasa baharu yang banyak perkataannya dipinjam daripada bahasa Arab dan campuran Parsi.

"Selepas itu, kita meninggalkan tulisan rencong dan palava kerana menggunakan sepenuhnya tulisan jawi yang mirip al-Quran, cuma ada penambahan lima huruf seperti nga dan nya," katanya.


PENCERAMAH, Tun Suzana Tun Othman menyampaikan ceramah bertajuk Peranan Ahlul-Bait Rasulullah dalam Islamisasi, Ketamadunan dan Peradaban Alam Melayu pada Program Seminar 'Rantaian Ahlul Bait di Alam Melayu dari Perspektif Agama, Sejarah dan Ketamadunan'. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Tambahnya, masih ada perkataan daripada bahasa Melayu rencong yang masih digunakan antaranya sembahyang bermaksud menyembah nenek moyang, namun pengertian itu berubah daripada aspek falsafahnya apabila ulama menyuntik nilai tauhid bagi mengelakkan unsur syirik dalam masyarakat.

Selain itu, perkataan rencong yang tidak lagi digunakan adalah seperti 'dewata mulia raya' yang membawa maksud tuhan yang Esa dan terpahat pada Batu Bersurat Terengganu yang diiktiraf sebagai ukiran dan tulisan Jawi pertama ditemui di Tanah Melayu.

Katanya, tulisan jawi yang dibentuk ulama juga menjadi ejen yang menyatukan pelbagai kaum di nusantara seperti di Kemboja walaupun mempunyai bahasanya tersendiri tetapi kitab lama yang dijumpai memperlihatkan ia dihasilkan dalam jawi.

Ia secara tidak langsung menunjukkan bahasa Melayu dan tulisan jawi digunakan sebagai bahasa 'lingua franca' di alam Melayu dalam pelbagai bidang penting termasuk pendidikan, perdagangan, agama, budaya dan falsafah.


SYEIKH Rohimuddin An-Nawai Al-Bantani ketika memberikan ceramah bertajuk Manhaj Tarbiyah dan Dakwah Ahlulu Bait Alam Melayu pada Program Seminar 'Rantaian Ahlul Bait di Alam Melayu dari Perspektif Agama, Sejarah dan Ketamadunan'. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Tun Suzana turut berkongsi mengenai peradaban orang Melayu yang mempunyai nilai unik dan tersendiri dan tidak diamalkan dalam kalangan bangsa lain juga banyak dipelajari serta diamalkan menerusi pembacaan kitab agama yang dihasilkan oleh ulama besar Arab.

"Kita dikenali sebagai kaum yang beradab dan antara rahsianya adalah penggunaan yang meluas kitab al-Ghazali, iaitu Ihya' Ulumuddin yang banyak mengajar mengenai ilmu adab.

"Tidak ada bangsa seperti orang Melayu yang tinggi budi pekerti seperti tidak mencelah dan mencium tangan orang yang lebih tua daripada kita.

"Kesan pendidikan yang dibawa oleh ulama alam Melayu dengan menekankan tasawuf yang tinggi akhirnya melahirkan masyarakat yang berakhlak," katanya.

Tambahnya, pengaruh Islam yang begitu kuat di Nusantara juga turut memberikan tempias kepada penjajah Barat yang akhirnya tidak dapat menyebarkan agama Kristian dalam masyarakat Melayu dengan berjaya sehingga diakui oleh orientalis seperti Stamford Raffles yang mengakui sukar untuk menyebarkan agama Kristian di Tanah Melayu.

Kedatangan Islam di alam Melayu tidak dapat dipisahkan dengan pengaruh Arab kerana kebanyakan ulama yang berhijrah adalah daripada golongan Sayyid, Syarif dan Habib terutama dari Hadhramaut, Yaman.

Menurut Tun Suzana, walaupun ada beberapa pendapat berlainan terutama oleh orientalis Barat termasuk menganggap Islam diperkenalkan di alam Melayu oleh ulama berketurunan India Muslim, namun banyak sumber membuktikan sumbangan orang Arab mengataasi bangsa lain.

"Walaupun tidak dapat dinafikan terdapat juga sumbangan dari bangsa lain, ia tidak dapat sampai mengatasi peranan bangsa Arab yang datang secara besar-besaran ke alam Melayu untuk berdakwah khususnya di awal perkembangan Islam di rantau ini, iaitu bermula pada kurun ke-13 Masihi.


ORANG ramai yang hadir pada Program Seminar 'Rantaian Ahlul Bait di Alam Melayu dari Perspektif Agama, Sejarah dan Ketamadunan' di Yayasan Restu Kompleks Taman Seni Islam Selangor. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Prof Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas berkata, jika dirujuk kepada penulisan bercorak agama di alam Melayu, hampir kesemuanya ditulis oleh pengarang Arab.

"Begitu juga manuskrip lama termasuk Sejarah Melayu, Hikayat Raja-raja Pasai, Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Acheh dan Salasilah Maguindanao adalah sumber sejarah tradisi yang membuktikan sumbangan ulama Arab kepada perkembangan Islam di alam Melayu," katanya.

Beliau berkata, dalam bidang kesusasteraan pula, muncul hikayat seperti Hikayat Amir Hamzah, Hikayat Nabi Bercukur dan Hikayat Nur Muhamamd.

"Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu karangan TunSeri Lanang yang masyhur ada mencatatkan mengenai kitab bertajuk Hikayat Muhammad Hanafiah yang dibacakan kepada hulubalang Melaka pada malam terakhir sebelum perang dengan Portugis dalam tahun 1511 sebagai membakar semangat jihad," katanya.

44 dibaca
Berita Harian X