Sabtu, 11 Julai 2015 | 5:21pm

12.24 hektar tanah milik individu dikenal pasti untuk RKB


MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (tiga, kanan) menyampaikan replika kunci rumah kepada Noor Noriah Setapa, 62, (dua, kiri) pada Majlis Penyerahan Kunci RKB kepada empat penerima di Kampung Guchil hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA KRAI: Kerajaan Persekutuan telah mengenal pasti tanah seluas 12.24 hektar milik individu di empat perkampungan di jajahan Kuala Krai bagi pembinaan Rumah Kekal Baharu (RKB) untuk 300 keluarga yang rumah mereka musnah akibat banjir pada Disember tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Bersama Pasca Banjir Negeri Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata tanah yang dikenal pasti itu ialah di Kampung Peria sebanyak 2.4 hektar, Kampung Machang (3.24 hektar), Kampung Manjung (3.0 hektar) dan Kampung Gua Ikan (3.6 hektar).

"Kita minta kerjasama daripada kerajaan negeri untuk membantu dalam perundingan dengan pemilik tanah supaya kita dapat harga (pembelian tanah) yang munasabah, kita mohon kerajaan negeri percepatkan perkara ini," katanya selepas Majlis Penyerahan Kunci RKB kepada empat penerima di Kampung Guchil di sini, hari ini.

Mustapa berkata, setakat ini sebanyak 18 keluarga mangsa banjir di jajahan Kuala Krai telah menerima RKB manakala 10 keluarga lagi akan menerima rumah masing-masing sebelum Hari Raya Aidilfitri.

"Hari ini kita sampaikan kunci kepada empat mangsa banjir di Guchil, kita mahu supaya mereka berpindah sebelum hari raya, ada di antara mereka yang menyewa rumah dan ada yang tinggal bersama keluarga," katanya.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, sebanyak 327 rumah transit di negeri ini bakal dinaik taraf untuk dijadikan rumah kekal dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air, dapur dan ruang tamu kepada mangsa banjir.

"Contohnya rumah transit yang ada dua bilik tidur dan satu bilik air, kita akan tambah satu lagi bilik tidur dan satu bilik air, dengan kos tidak melebihi RM25,000 setiap unit.

"Jadi dengan cara ini kita harap akan mempercepatkan proses pembinaan rumah kepada mangsa banjir di negeri ini," katanya.

Mengikut rekod terdapat 1,827 rumah musnah akibat banjir itu.

Mustapa juga berkata, pihaknya mengadakan perbincangan dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) untuk membiayai kos infrastruktur di kawasan Limau Kasturi, Gua Musang yang akan dijadikan tapak untuk RKB.

Beliau berkata Jabatan Kerja Raya sudah diminta untuk menyediakan kos infrastuktur bagi tanah berkenaan. - BERNAMA

Berita Harian X