Ahad, 12 Julai 2015 | 5:56pm

Wanita maut motosikal terbabas di Plaza Tol Cheneh

MAYAT Suriyana Abdullah ditutupi dengan kain selepas motosikal Modenas Kriss yang ditungganginya terbabas di susur keluar Plaza Tol Cheneh, Kemaman, petang semalam. - Foto Shamsudin Husin
MAYAT Suriyana Abdullah ditutupi dengan kain selepas motosikal Modenas Kriss yang ditungganginya terbabas di susur keluar Plaza Tol Cheneh, Kemaman, petang semalam. - Foto Shamsudin Husin

KEMAMAN: Seorang jurujual wanita di sebuah syarikat perumahan di sini maut setelah motosikal Modenas Kriss yang ditungganginya terbabas di susur keluar Plaza Tol Cheneh, di sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 5.40 petang itu, Suriyana Abdullah, 24, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan selepas motosikal berkenaan melanggar penghadang kiri jalan.

Ketika kejadian, mangsa yang berasal dari Kampung Anak Ikan Jerteh, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bandar Cheneh Baru setelah selesai bertugas menjaga ruang pameran di sebuah pasar raya di bandar Chukai.

Suami mangsa, Mohd Azwan Yusof, 25, berkata beliau bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan daripada rakannya pada 6.30 petang.

Katanya, mangsa keluar ke tempat kerjanya pada 10 pagi dan memaklumkan akan berbuka puasa bersama-sama.

"Impian kami untuk menyambut hari raya buat kali pertama sebagai suami isteri tahun ini berkecai dengan pemergian arwah buat selama-lamanya," katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, DSP Normansah Din, ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu dan berkata mayat mangsa dibawa Ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk dibedah siasat.

- BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X