Isnin, 13 Julai 2015 | 3:46pm
KETUA Jurulatih Kebangsaan, Dollah Salleh. - Foto BERNAMA

Dollah senarai 5 muka baru Malaysia X1 lawan Liverpool

KUALA LUMPUR: Ketua Jurulatih Kebangsaan, Dollah Salleh menyenaraikan lima muka baharu dalam senarai 20 pemain skuad Malaysia XI bagi aksi menentang kelab gergasi Inggeris, Liverpool, minggu depan.

Agak mengejutkan, tiada seorang pun pemain pasukan Johor Datul Ta'zim (JDT) yang dipanggil pada perlawanan kali ini dengan dua tonggak, Safiq Rahim dan Amri Yahyah hanya diletakkan dalam barisan simpanan.

Lima pemain baharu yang dipanggil ialah penjaga gol Zamir Selamat (Perak), Razman Roslan (Pahang), Nazirul Naim Che Hashim (Harimau Muda B), Baddrol Bakhtiar (Kedah) dan Norshahrul Idlan Talaha (Terengganu).

Hanya 10 pemain daripada keseluruhan 23 pemain skuad kebangsaan ketika dua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 bertemu Timor Leste dan Palestin, 11 dan 16 Jun lalu dikekalkan.

Antara pemain yang digugurkan termasuklah penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan), Muslim Ahmad (PDRM), Indra Putra Mahayuddin (Felda United), R Gopinathan (Pahang) serta sembilan pemain JDT iaitu Farizal Marlias, Fadhli Shas, Junior Eldstal, S Kunanlan, Mahalli Jasuli, Safee Sali, Nazrin Nawi termasuk Safiq dan Amri.

Sama seperti perlawanan bertemu Tottenham Hotspur di Stadium Shah Alam, 27 Mei lalu, Dollah turut menyenaraikan lima pemain import bagi memperkuatkan pasukannya kali ini.

Lima pemain import disenaraikan terdiri daripada tiga pemain yang beraksi ketika bertemu Tottenham - Ashfaq Ali (PDRM), Robert Cornthwaite (Selangor) dan Thiago Junio Aquino (Perak) serta dua muka baharu - Dickson Nwakaeme (Pahang) dan Zah Rahan Krangar (Felda United).

Perlawanan Malaysia XI bertemu Liverpool dijadualkan pada 24 Julai ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

INFO

Senarai pemain Malaysia XI menentang Liverpool

- PENJAGA GOL: Zamir Selamat, Khairul Azhan Khalid

- PERTAHANAN: Afif Amiruddin, Razman Roslan, Yong Kuong Yong, Zubir Azmi, Nazirul Naim Che Hashim, Robert Cornthwaite, Thiago Junio Aquino

- TENGAH: Nasir Basharuddin, Baddrol Bakhtiar, Azammuddin Akil, Ahmad Syamim Yahya, Ahmad Hazwan Bakri, Joseph Kalang Tie, Zah Rahan Krangar

- PENYERANG: Norshahrul Idlan Talaha, Afiq Azmi, Dickson Nwakaeme, Ashfaq Ali

Berita Harian X