Isnin, 13 Julai 2015 | 3:49pm

Jangan buang sampah dari kenderaan - SWCorp

KETUA Pegawai Eksekutif SWCorp, Datuk Ab Rahim Md Noor. - Foto Sairien Nafis

PUTRAJAYA: Walaupun hanya satu cebisan kecil namun siapa sangka plastik akan mengambil masa lebih 500 tahun untuk terurai manakala proses penguraian satu puntung rokok pula mengambil masa 50 tahun.

Fakta itu tidak diketahui umum bahawa ia adalah antara punca longgokan sampah yang semakin kritikal di negara ini.

Sehubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Solid Waste Corporation (SWCorp), Datuk Ab Rahim Md Noor menasihatkan orang ramai yang akan memulakan perjalanan sempena Aidilfitri, agar tidak membuang sampah khususnya beg plastik makanan dan puntung rokok melalui tingkap kenderaan.

"Ini adalah tabiat buruk dalam kalangan rakyat Malaysia. Macam-macam dibuang dari tingkap kenderaan dengan selambanya kononnya mahu menjaga kebersihan dalam kenderaan.

"Ia bukan saja mencemarkan alam sekitar, mencacatkan pandangan malah ia juga membahayakan pengguna jalan raya yang lain," katanya.

Beliau berkata, sampah ringan seperti beg plastik dan tisu yang dibuang dari kenderaan bergerak berkemungkinan hinggap pada cermin kenderaan lain dan membahayakan pengguna kerana ia akan mengganggu pandangan dan pemanduan sehingga menyebabkan berlakunya kemalangan.

Ab Rahim berkata, sampah plastik yang mengalir ke longkang dan sungai akan terurai dan menjadi sebahagian daripada komponen air larut resap yang akan mengancam hidupan laut akibat termakan, terperangkap atau berikutan pencemaran air yang berpunca daripada sampah plastik.

"Plastik yang terurai secara alami akan berubah menjadi 'microplastic' iaitu sejenis 'micropolutant' yang boleh meresap dan mencemarkan sumber air, mengancam hidupan laut dan memudaratkan kesihatan manusia," katanya.

Ab Rahim menyaran pihak berkuasa tempatan (PBT) memperketatkan pemantauan dan mengenakan denda terhadap mereka yang membuang sampah melalui tingkap kenderaan.

"Saya berharap orang ramai memainkan peranan untuk menjaga kebersihan alam sekitar. Janganlah sampai kena denda ketika musim perayaan ini," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X