Isnin, 13 Julai 2015 | 8:47pm

Pasangan warga emas cedera disamun 3 warga asing

SEBERANG PERAI: Seorang warga emas dan isteri kerugian lebih RM3,500 apabila rumah mereka di Tasek Gelugor disamun sekumpulan lelaki yang dipercayai warga Indonesia.

Dalam kejadian 4 pagi tadi itu, tiga lelaki melarikan pelbagai peralatan memancing dan wang tunai RM3,500 selepas memecah masuk rumah mangsa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), ACP Abdul Rahman Ibrahim, berkata ketika kejadian, mangsa Jamaneh Md Isa, 57, isteri kepada warga emas itu, bangun untuk menyiapkan makanan untuk bersahur lalu diserang suspek.

Katanya, Jamaneh dan suami Mohd Zaki Hashim, 65, kemudiannya diikat tangan serta kaki dan mulut ditutup dengan kain sebelum suspek menggeledah rumah mangsa.

"Mangsa mengalami kecederaan selepas ditendang dan dipukul manakala isterinya cedera di bahagian tangan akibat terkena pisau.

"Polis sedang mengesan ketiga-tiga orang suspek yang dipercayai warga Indonesia berdasarkan loghat percakapan yang dilaporkan isteri mangsa dalam laporan polis," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, selain wang tunai RM3,500, suspek melarikan sembilan batang rod pancing dan 10 mesin pancing.

Abdul Rahman berkata, siasatan awal polis mendapati suspek dipercayai masuk melalui bahagian belakang rumah kampung berkenaan dengan memotong besi cermin tingkap.

"Polis turut merampas pengikat kabel, cebisan kain, tali kad matrik dan tali pinggang yang digunakan suspek untuk mengikat mangsa," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

- BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X