Selasa, 14 Julai 2015 | 3:34pm

Tol Gombak mulai sibuk, lebuh raya utama lain lancar

Nombor talian yang boleh dihubungi oleh semua pengguna lebuhraya bertol bagi sebarang pertanyaan dan makluman kecemasan. - Twitter LLM

KUALA LUMPUR: Aliran trafik di Plaza Tol Gombak arah ke Pantai Timur mulai sibuk setakat jam 3 petang tadi berikutan kebanyakan warga kota mula pulang ke kampung sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Menurut Twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), hanya laluan ke arah timur mulai sesak manakala beberapa lebuh raya utama termasuk Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) masih lancar, termasuk dari Slim River ke Sungkai dan Jelapang ke Kuala Kangsar.

"Bagaimanapun, terdapat kemalangan dilaporkan di Kilometer 220.9 arah selatan dari Changkat Jering ke Kuala Kangsar tetapi tiada penutupan lorong utama. Trafik lancar," menurut posting terbaharu LLM.

Status kemalangan di Kilometer 75.8 arah utara dari Machap ke Ayer Hitam juga dilaporkan selesai dan trafik kembali lancar.

Sementara itu, laman Twitter PLUS Expressways Bhd melaporkan, trafik turut lancar di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA), Butterworth-Kulim (BKE), Seremban-Port Dickson (SPDH) dan di Jambatan Pulau Pinang.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta www.twitter.com/llminfotrafik.

Berita Harian X